mk-logo
Berita
Guan Eng: RUU antiberita palsu untuk tutup skandal 1MDB?
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 5:15 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

DAP mendakwa rang undang-undang (RUU) antiberita palsu yang dicadangkan kerajaan bertujuan menutup semua skandal seperti 1MDB.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengkritik rang undang-undang itu dan menyifatkannya  "pembunuh" kepada kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.

Beliau berkata RUU itu memperuntukkan hukuman penjara untuk mengugut media yang bebas agar tidak menerbitkan berita yang tidak disahkan oleh kerajaan BN.

"Dalam erti kata lain, hanya kerajaan boleh menentukan mana yang benar atau salah atau membuat keputusan yang palsu atau tidak.

"Hanya kerajaan persekutuan BN boleh menentukan apa yang benar atau palsu adalah bersifat drakonian," kata Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, RUU itu juga memberikan isyarat bahawa Malaysia di bawah BN kini melangkah ke arah kuku besi.

Lim berkata demikian mengulas pengumuman Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari yang mengatakan maklumat berkaitan 1MDB yang tidak disahkan akan dianggap sebagai berita palsu.

Menurutnya, Jailani bersikap sombong apabila mengatakan definisi berita palsu adalah berita yang disahkan palsu oleh pihak berkuasa yang mempunyai kepakaran dalam perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said juga berkata RUU itu digubal untuk melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa berita palsu.

"Bagaimana pula tentang pemberi maklumat dan media bebas yang menjadi mangsa BN kerana RUU baru antiberita palsu berkenaan," kata Lim.

Lim berkata banyak negara telah memulakan siasatan berkaitan 1MDB yang dinyatakan oleh peguam negara Amerika Syarikat, Jeff Sessions sebagai "kleptokrasi paling buruk".

Beliau berkata di Singapura sebuah bank dibatalkan lesennya, manakala pegawai-pegawainya didakwa dan seorang bekas ahli perbankan dipenjara selama empat setengah tahun (54 bulan) kerana terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB.

"Namun kerajaan persekutuan BN menolak semua berita ini sebagai palsu!"katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS