Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia Airlines mungkin terbang semula ke AS, Perancis
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 6:29 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Malaysia Airlines berkemungkinan menyambung semula penerbangannya ke Amerika Syarikat (AS) dan Paris di Perancis, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Kapten Izham Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada penerbangan ke kedua-dua negara itu akan disambung semula dalam masa terdekat ini susulan perasmian kemudahan ruang menunggu serba eksklusif Golden Lounge Malaysia Airlines yang diberi nafas baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

Malaysia Airlines bertindak menggantung semua penerbangannya ke Los Angeles yang menjadi bandar raya tunggal di AS bagi perkhidmatan ke Kuala Lumpur menerusi Tokyo pada 2014 manakala penerbangan ke Paris dihentikan pada 2016.

Mengulas perkembangan rangkaian MAB, Izham berkata syarikat itu dijangka menyaksikan pertumbuhan lebih perlahan pada kadar 3.0-4.0 peratus dalam masa dua tahun akan datang.

"Sekiranya Malaysia Airlines berjaya mencatat pemulihan, pertumbuhan itu dijangka lebih pesat pada 4.0-5.0 peratus. Saya mempunyai tiga tempoh iaitu tiga tahun, lima tahun dan 10 tahun (dari sekarang)," katanya.

Ditanya mengenai destinasi baharu MAB di rantau Asia Pasifik, Izham cuma berkata : "Tunggulah nanti."

Dalam pada itu ketika berucap, beliau berkata MAB telah mengembangkan rangkaiannya ke China menerusi empat laluan baharu termasuk Nanjing dan Haikou serta menyambung semula penerbangan ke Surabaya bagi trafik umrah dan haji.

Malah, MAB turut menambah kekerapan penerbangan ke Seoul (Korea Selatan) dan menyasarkan untuk menyambung semua perkhidmatannya ke Brisbane (Australia) pada Jun ini.

Sementara itu, ruang menunggu Golden Lounge itu menyediakan pelbagai kemudahan termasuk ruang isitirehat, ruang mandi, perkhidmatan sajian makanan seperti laksa dari pelbagai negeri, ruang solat, ruang keluarga, bilik menukar lampin dan bilik merokok.

Ia yang beroperasi 24 jam, boleh memuatkan sehingga 330 tetamu di ruang kelas perniagaan dan 125 tetamu di ruang kelas pertama, pada satu-satu masa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS