Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pensyarah UUM nafi terkucil, tetap kata Mahathir sudah tua

ULASAN l Sejak awal lagi saya sudah sedar bahawa Wacana Sinar Harian Ke-53, “Apakah Tun Mahathir Terlalu Tua Untuk Jadi PM, adalah bertujuan untuk mempromosikan Tun Dr Mahathir”.

Ini kelihatan di dalam jemputan awal pihak penganjur kepada saya yang menyebut bahawa kupasan topik berkenaan adalah bertujuan supaya "kita nampak jelas kekuatan Dr Mahathir.

Saya mengandaikan bahawa kedua-dua rakan panelis saya, iaitu pakar psikologi, Prof Datuk Dr Mat Saat Baki, dan pakar kesihatan fizikal, Kevin Zahri Abdul Ghaffar, akan ditugaskan untuk memberikan testimoni mereka mengenai kemampuan mental dan fizikal Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri.

Saya juga sangat tahu bahawa moderator, Nazri Kahar, adalah seorang penyanjung Dr Mahathir dan pengkritik Datuk Seri Najib Razak, dan ini terbukti dari soalan yang diberikan sejam sebelum wacana bermula yang meminta dibandingkan tokoh muda yang penuh korupsi dengan tokoh tua yang penuh inovasi.

Malah, beberapa rakan rapat saya yang menyebut mengenai betapa Sinar Harian semakin lama kelihatan semakin kuat menyokong Pakatan Harapan meminta saya tidak menyertai wacana ini kerana bimbang ia merupakan satu perangkap untuk mengenakan diri saya.

Pada peringkat awalnya, saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa mereka turut menjemput Dr Mahathir untuk turut hadir bagi bercakap mengenai isu yang melibatkan diri beliau ini tetapi beliau dikatakan tidak menjawab jemputan menyebabkan saya mengandaikan beliau tidak akan hadir.

Walaupun menyedari kemungkinan wacana ini akan menjadi berat sebelah, saya bagaimanapun memilih untuk hadir bagi membolehkan saya mengemukakan beberapa fakta alternatif mengenai kemampuan Dr Mahathir ini.

Sepuluh kayu ukur

Untuk tujuan itu, saya telah menyenaraikan 10 kayu ukur bagi menilai kemampuan Dr Mahathir ini, iaitu membabitkan aspek perundangan (legal), fizikal, genetik, psikologi, mental, moral, demografi, intelektual, falsafah dan kerohanian (spiritual).

Bila saya diberi ruang bercakap, saya pun terus mengemukakan penilaian saya ke atas kayu ukur tersebut, di mana pada kali pertama saya sempat mengemukakan enam kayu ukur sebelum dihentikan oleh moderator (yang menyebut mengenai kelebihan tokoh tua berbanding tokoh muda yang korupsi).

Dari sudut legal, saya menyebut Tun Dr Mahathir mampu kerana, berbanding di Iran yang menetapkan 75 tahun sebagai usia maksimum calon Ahli Parlimen, Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan usia maksimum tetapi hanya menetapkan usia minimum, iaitu 21 tahun.

Dari sudut fizikal, saya menyebut Dr Mahathir tidak mampu dengan memberikan fakta mengenai beliau telah dua kali menjalani pembedahan pintasan jantung pada 24 Januari 1989 dan 4 September 2007; beliau telah tiga kali gagal hadir berceramah dalam tempoh empat bulan terakhir, iaitu di Ipoh pada 3 Disember 2017, di Bentong pada 10 Februari 2018 dan di Pulau Pinang pada 11 Mac 2018; dan beliau telah mengalami batuk teruk ketika berceramah di Tanjung Malim pada 16 Mac 2018.

Dari sudut genetik, saya menyebut Dr Mahathir tidak mampu dengan memberikan fakta mengenai jangkaan hayat lelaki Malaysia ialah 72.7 tahun; dan mengenai purata tempoh hayat adik-beradik beliau yang tidak lebih tinggi berbanding beliau, iaitu Mashahor yang meninggal dunia sewaktu berusia 79 tahun pada 30 September 2002, Mahadi yang meninggal dunia sewaktu berusia 86 tahun pada 12 Disember 2000, Habshah yang meninggal dunia sewaktu berusia 89 tahun pada 6 Disember 2006 dan Rafeah yang meninggal dunia sewaktu berusia 94 tahun pada 1 September 2009.

Dari sudut mental, saya menyebut Dr Mahathir tidak mampu dengan memberikan fakta mengenai penurunan kemampuan kognitif beliau yang kelihatan jelas di dalam dialog bersama cendekiawan Melayu pada 25 Julai 2017 dan sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 20 Disember 2017.

Mencemuh tokoh politik muda

Dari sudut psikologi, saya menyebut Dr Mahathir tidak mampu dengan memberikan fakta mengenai ketidaksediaan awal beliau untuk menjadi perdana menteri membabitkan kenyataan beliau di University of London pada 21 September 2016 bahawa Tan Sri Muhyiddin adalah calon perdana menteri beliau, kenyataan beliau di Tasek Gelugor pada 23 April 2017 bahawa beliau terlalu tua dan pendedahan Wan Saiful dalam Channel News Asia pada 6 Disember 2017 bahawa Dr Mahathir menyebut tidak mahu bertanding.

Dari sudut moral, saya menyebut Dr Mahathir tidak mampu dengan memberikan fakta mengenai bagaimana beliau sebelum ini sering mencemuh tokoh politik yang lebih muda dari beliau sebagai terlalu tua untuk menjawat jawatan tinggi kerajaan melalui kritikan beliau terhadap Datuk Nik Abdul Aziz pada 30 Oktober 2009 dan 27 April 2013 serta kritikan beliau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam The Australian pada 11 April 2016 (yang menyebut betapa beliau sendiri sedar beliau tidak mampu terus menjadi Perdana Menteri pada usia 80 tahun).

Selepas dipotong oleh moderator, saya menggunakan kesempatan lain untuk menghujahkan Dr Mahathir tidak mampu dari sudut falsafah dan demografi.

Dari sudut falsafah, saya menyebut Dr Mahathir tidak mampu dengan memberikan fakta mengenai bagaimana Manifesto Pakatan Harapan menjanjikan mengenai pelbagai bentuk perubahan sedangkan perubahan adalah sesuatu yang stressful dan yang diasosiasikan dengan orang muda berbanding orang tua yang diasosiasikan dengan kestabilan.

Dari sudut demografi, saya menyebut Dr Mahathir tidak mampu dengan memberikan fakta mengenai penduduk Malaysia berusia 65 tahun ke atas yang hanya berjumlah 6.2 peratus berbanding penduduk Malaysia berusia 15-64 tahun yang berjumlah 69.7 peratus selain mengenai trend dunia yang menyaksikan kemunculan semakin ramai pemimpin muda seperti Justin Trudeau yang berusia 44 tahun sewaktu menjadi Perdana Menteri Kanada pada 4 November 2015, Emmanuel Macron yang berusia 40 tahun sewaktu menjadi Presiden Perancis pada 14 Mei 2017 dan Sebastian Kurz yang berusia 31 tahun sewaktu menjadi Canselor Austria pada 13 Disember 2017.

Dominasi DAP

Bila panelis lain menyebut mengenai keterpaksaan Dr Mahathir menjadi perdana menteri kembali kerana ketiadaan pemimpin muda berwibawa di Malaysia, saya menyatakan bahawa pindaan ke atas Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan bagi menetapkan 75 tahun sebagai usia maksimum calon ahli parlimen mungkin boleh membantu menyelesaikan masalah ini.

Saya memang tidak menyangka mengenai kehadiran secara tiba-tiba Dr Mahathir ke wacana ini, apatah lagi bila moderator terus memberikan ruang kepada beliau dan isteri beliau untuk bercakap selain meminta kami sebagai panelis untuk bertanya soalan kepada beliau sebagai jemputan pula.

Bagaimanapun, saya menggunakan ruang yang ada untuk mengingatkan Dr Mahathir mengenai ketidakmampuan beliau dari sudut spiritual dengan merujukkan kepada peringatan Allah mengenai kelemahan manusia pada usia tua seperti yang terkandung di dalam Ayat 68 Surah Yasin, Ayat 5 Surah al-Hajj, Ayat 54 Surah al-Rum dan Ayat 70 Surah al-Nahl.

Saya juga menggunakan ruang yang ada untuk menanyakan beliau mengenai persepsi bahawa, dari segi intelektual, beliau tidak akan mampu untuk jadi perdana menteri yang baik kerana beliau tidak akan mampu menguasai Pakatan Harapan serta hanya akan menjadi puppet kepada para pemimpin lain disebabkan dominasi DAP dan disebabkan Perjanjian Pakatan Harapan yang mensyaratkan supaya setiap pembuatan keputusan mestilah dibuat secara konsensus, termasuk dengan membangitkan beberapa kandungan utama di dalam Manifesto Pakatan Harapan sebagai contoh.

Saya juga turut menanyakan beliau satu soalan yang memang sudah lama saya mahu tanyakan sendiri kepada beliau, iaitu apa yang menyebabkan beliau sendiri kini bersedia untuk menjadi Perdana Menteri kembali tatkala beliau sendiri menyebut, pada 21 September 2016, bahawa Tan Sri Muhyiddin adalah calon perdana menteri beliau dan tatkala kaji selidik BERSATU yang diumumkan oleh Datuk Dr Rais Hussin pada 10 Mei 2017 sendiri menyebut bahawa calon paling popular untuk menjadi perdana menteri bukanlah beliau, tetapi Muhyiddin.

Saya berpuas hati dapat menanyakan kedua-dua soalan tersebut secara terus kepada Dr Mahathir, malah jawapan beliau kepada kedua-dua soalan saya ini telah diberikan liputan oleh media massa.

Nafi terkedu, terkucil

Adalah tidak benar dakwaan yang disebarkan secara meluas dalam media sosial, yang turut disertakan dengan foto yang menunjukkan seolah-olah saya terkedu di sisi beliau, bahawa saya kononnya terus terkucil ketakutan sebaik sahaja Dr Mahathir sampai ke majlis wacana itu.

Saya sebaliknya merasa teruja dengan kehadiran Dr Mahathir yang, berdasarkan kenyataan Ketua Pemuda BERSATU Syed Saddiq, kepada saya selepas majlis itu tamat, memutuskan untuk hadir sendiri ke majlis itu selepas melihat perjalanan wacana itu sejak ia bermula secara live, termasuk tindakan saya yang lantang mengkritik beliau.

Pada hemat saya, cubaan Dr Mahathir untuk menunjukkan keberanian beliau dengan mencabar saya di laman Facebook beliau untuk mengkritik beliau secara berdepan adalah sesuatu yang melucukan kerana jika beliau betul-betul berani beliau sepatutnya menyahut undangan Sinar Harian untuk ikut sama di dalam wacana itu sejak awal lagi sebagai pembicara bukan hadir tiba-tiba di tengah majlis sebagai penonton (yang diberi peluang untuk berbicara).

Saya mengharapkan akan ada soalan dari penonton yang akan membolehkan saya mengkritik Dr Mahathir secara berdepan, malangnya peluang untuk penonton berbicara juga ditutup secara yang, saya dimaklumkan, tidak adil.

Saya juga merasa terkejut dengan sikap hipokrit Dr Mahathir yang memberikan gambaran positif mengenai tahap kesihatan beliau kepada khalayak, tetapi sewaktu jamuan selepas majlis itu tamat saya mendengar sendiri beliau komplen mengenai jadual ceramah beliau yang ketat, mengenai betapa beliau terpaksa menunggu sehingga lewat malam di dalam sesuatu majlis ceramah kerana sering diletakkan sebagai penceramah terakhir dan sebagainya.

Saya dimaklumkan mengenai pelbagai troll memanjang yang dikenakan terhadap saya oleh para pengikut setia Dr Mahathir, termasuk oleh para pemimpin AMANAH. Paling menarik ialah tindakan dua evangelis Kristian utama DAP, Hannah Yeoh dan Yeo Bee Yin, menggelakkan saya di laman Facebook mereka.

Tidak mengapa, ada ubi ada batas.


KAMARUL ZAMAN YUSOFF adalah pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia dan penulis rencana di Harakadaily.

Artikel ini pertama kali disiarkan di Facebook beliau. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS