Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Perbicaraan terhadap kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini bermula dengan pihak pendawaan mengemukakan saksi pertama mereka, Mohsin Abdul Latheef atau lebih dikenali sebagai 'Mamu Parpu'.

Pihak pendakwaan diketuai timbalan pendakwa raya, Datuk Masri Mohd Daud manakala peguam Gobind Singh Deo bertindak mewakili Lim.

Dalam keterangannya, Mohsin berkata beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung pembelian banglo oleh Lim pada 18 Mac 2016.

Mohsin berkata laporan itu dibuat selepas beliau menonton berita TV3 yang menyiarkan kenyataan anggota Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahya berhubung isu mengenai banglo berkenaan.

Ditanya Masri sekiranya beliau menerima tekanan untuk membuat laporan itu, Mohsin berkata 'tidak'.

Mahkamah kemudian ditunjukkan rakaman video perdebatan antara Shahbudin dan Lim di parlimen.

Ketika soal balas, Gobind bertanya kepada Mohsin sama ada beliau adalah penulis pro-BN kerana aktif menggunakan Facebook dengan menggunakan nama pena 'Mamu Parpu' dan sering dilihat memprotes Lim serta kerajaan negeri Pulau Pinang.

Bagaimanapun Mohsin menafikannya.

Gobind kemudian menyatakan terdapat posting dalam laman sosial milik Mohsin berbunyi "kami gang Najib'.

Mohsin setuju dengan pernyataan tersebut namun menafikan mempunyai kepentingan politik untuk memburukkan pembangkang.

Merujuk laporan SPRM yang dibuat Mohsin, Gobind bertanya sama ada saksi berkenaan setuju bahawa tuduhan itu tidak benar dan tiada pembelian banglo berlaku pada tahun 2008.

Mohsin berkata, "Saya tidak tahu."

Apabila ditekan oleh Gobind, Mohsin menjawab laporan berkenaan dibuat berdasarkan klip video seperti ditunjukkan mahkamah.

Gobind berkata klip video itu menunjukkan bahawa Shabudin menyebut pembelian banglo itu dibuat pada tahun 2015.

"Jika tidak disebutkan dalam video itu, di mana kamu dapat maklumat?" soal Gobind.

Mohsin mendakwa dia tidak faham soalan itu, menyebabkan mereka yang hadir di mahkamah ketawa.

Gobind mengulangi soalannya dengan bertanya kepada Mohsin daripada mana beliau mendapat maklumat.

Mohsin berkata dia tidak ingat, menyebabkan Gobind kemudian berkata, "Adakah kamu tahu ia adalah satu kesalahan untuk menerbitkan berita palsu?"

Mohsin menjawab, "Ya."

Saksi 'tidak pasti'

Gobind berkata apabila Mohsin membuat laporan polis terhadap Lim dengan mengatakan pembelian banglo itu ada unsur rasuah, ia merupakan satu tuduhan yang sangat serius.

Mohsin menjawab beliau percaya terdapat unsur rasuah dan mengatakan ada membacanya di beberapa blog.

Apabila Gobind menyatakan terdapat unsur "berita palsu dan salah" dalam laporan polis dibuatnya, Mohsin berkata beliau "tidak pasti" mengenai perkara itu.

Sementara itu ketika disoal pihak pendakwaan mengenai posting Facebook berbunyi "Kami adalah geng Najib," sama ada mempunyai kaitan politik, Mohsin menjawab tidak.

Masri kemudian bertanya kepada Mohsin sama ada beliau tahu apa yang disebut Shabudin dalam video itu benar atau tidak.

Mohsin kemudian menjawab beliau tidak pasti.

Sementara itu pihak pendakwaan memanggil lima saksi dari kerajaan negeri untuk mengesahkan jawatan ketua menteri dan tugas Lim di pejabat.

Tidak ada soalan atau soal balas oleh peguam Lim terhadap saksi-saksi berkenaan.

Masri berkata hanya tujuh saksi hadir di mahkamah hari ini dan tiga lagi akan hadir pada sebelah petang.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail meminta pihak pendakwa "tidak membuang masa" dan menyelesaikan semua saksi mereka hari ini.

Hadhariah kemudian menangguhkan prosiding mahkamah untuk makan tengah hari sehingga jam 2.30 petang.

Lihat Komen
ADS