Paling Popular
Terkini

PAS menyifatkan seseorang yang sudah berusia seperti bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu bersara dalam karier politik seperti mana seorang pemain bola sepak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan setiap orang mempunyai usia kemuncak (dalam karier).

"Macam saya pernah jawab sebelum ini dia ada peak age. Orang main bola pun sampai 36 tahun, lepas itu dia tak boleh main dah.

"(David) Beckham sendiri pun selepas usia 30 tahun dia bersara. Orang lain pun macam tu juga, sebab ia memerlukan stamina yang kuat.

"Walaupun orang itu mungkin bijaksana, tapi bila sampai usia tertentu, (stamina) dia mula menurun," katanya kepada media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, perdebatan usia Mahathir yang diletakkan sebagai calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (HARAPAN) kembali menjadi tumpuan susulan forum yang dianjurkan Sinar Harian baru-baru ini.

Forum bertajuk 'Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?' Khamis minggu lalu itu menjadi tumpuan selepas menyaksikan kehadiran Mahathir ke program itu.

Beckham merupakan seorang pemain bola sepak profesional dari England yang pernah mewakili beberapa kelab terkemuka dunia sebelum bersara pada usia 38 tahun.

Sementara itu, Mohd Amar (gambar) berkata, prestasi Mahathir mula menurun selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri.

"Pemecatan Anwar Ibrahim itu merupakan satu tanda paling besar bahawa dia (Dr Mahathir) sudah mula melakukan kesilapan demi kesilapan.

"Kedua, isu yang besar bagi kita pembangkang ialah baggage politic (beban politik). Tun dah jadi perdana menteri 22 tahu, tetapi banyak masalah yang timbul dan sebahagian besar masalah itu diwarisi kepimpinan Umno selepasnya.

"Tun Abdullah Ahhmad Badawi datang pun berdepan dengan isu yang ditinggalkan Dr Mahathir, (Datuk Seri) Najib Razak datang pun isu yang ditinggalkan Dr Mahathir," katanya.

Justeru tambah beliau, beban politik tersebut merupakan faktor perdana menteri keempat itu tidak layak untuk kembali memegang jawatan itu.

"Waktu dia jadi perdana menteri dia bergaduh dengan sultan, bergaduh dengan hakim, bergaduh dengan sekolah agama dan skandalnya banyak.

"Sebab itu pada pandangan kita, Dr Mahathir tidak lebih baik daripada Najib dan Najib pun tidak lebih baik daripada Dr Mahathir," jelasnya.
 

Lihat Komen
ADS