Peguam Negara dirayu gugurkan pendakwaan
Empat orang yang dihadapkan di mahkamah atas tuduhan mengadakan perhimpunan haram pada 1 April 2001 di Kampung Kuala Kuang, Chemor, Perak, telah mengemukakan rayuan kepada Peguam Negara supaya menggugurkan dakwaan terhadap mereka.
Empat orang yang dihadapkan di mahkamah atas tuduhan mengadakan perhimpunan haram pada 1 April 2001 di Kampung Kuala Kuang, Chemor, Perak, telah mengemukakan rayuan kepada Peguam Negara supaya menggugurkan dakwaan terhadap mereka.
Mereka Chai Sin Chong, 66, (dua dari kiri) Chong Min Tow, 62, (tiga dari kiri) Tan Kin Siah, 43, (kanan sekali) dan K Kunasekaran, 41, (kiri sekali) telah menghantar memorandum rayuan itu kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya pagi tadi.
Tan, Chong dan Chai adalah penduduk Kampung Kuala Kuang dan ahli Jawatankuasa Anti Bau Busuk kampung berkenaan, manakala Kunasekaran adalah seorang aktivis masyarakat.
Memorandum tersebut turut ditandangani oleh enam orang ahli jawatankuasa tersebut. Mereka ialah Lee Ha, Chai Ping, Chong Lin, Chooi Kwai Hing, Wong Seng dan Chong Chee Sin.
Kunasekaran selaku jurucakap kumpulan tersebut berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail perlu menimbangkan rayuan mereka kerana isu yang diperjuangkan oleh penduduk Kuala Kaung adalah isu kepentingan awam yang sudahpun diselesaikan secara baik di luar mahkamah April lalu.
Kunasekaran berkata, pihaknya membuat rayuan kepada Peguam Negara setelah rayuan kepada pejabat penasihat Undang-Undang Negeri Perak ditolak.
Perbicaraan kes mereka telah ditetapkan pada 25 Oktober ini di Mahkamah Majistret Ipoh.
Perhimpunan aman
Kunasekaran berkata, kira-kira 500 penduduk mengadakan perarakan itu pada 1 April 2001 kerana membantah kehadiran sebuah kilang getah di situ yang mengeluarkan bau busuk. Mereka juga mendakwa kilang tersebut sengaja melengah-lengahkan arahan berpindah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.
Katanya, arahan tersebut dibuat dalam perjumpaan antara Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli dengan wakil pekilang dan penduduk terbabit, pada bulan Mac 2000. Kilang itu diarah supaya berpindah ke tapak baru seluas 25 ekar di Chemor.
Berikutan itu, Kunasekaran berkata, beliau, Tan, Chong dan Chai telah ditahan polis ketika menyertai perarakan tersebut dan dibawa ke Balai Polis Pusat Ipoh. Mereka dibebaskan pada jam 5 petang hari yang sama.
"Sekarang kilang yang mengeluarkan bau busuk itu sudah berpindah, mengapa polis mahu mengheret kami ke mahkamah selepas dua tahun kejadian berlaku," katanya.
Kilang tersebut hanya berpindah ke kawasan PerindustrianKhantan, dekat lpoh pada 30 Mac lalu.
Kampung Kuala Kuang terletak kira-kira 10 kilometer dari Ipoh, dengan mempunyai 5,000 penduduk yang sebahagian besarnya adalah penanam sayur.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.