Ulasan Malaysiakini

Tiga helah Najib untuk singkirkan HARAPAN

Liew Chin Tong  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN l Dengan rating populariti yang merosot, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahu bahawa beliau semakin kehilangan sokongan rakyat maka beliau cuba menyingkirkan pakatan pembangkang sejak pilihan raya umum (PRU) 2013.

Menjelang PRU 2018 yang semakin hampir tiba, Najib mempunyai tiga muslihat utama - persempadanan semula, rang undang-undang (RUU) antiberita palsu dan penangguhan pendaftaran pakatan pembangkang oleh Jabatan Pendaftaran (RoS).

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow menyelar DAP kerana ingin menyingkirkan MCA dan Gerakan. Sedangkan, sebenarnya Najib yang cuba segala cara untuk menyingkirkan pembangkang daripada landskap politik Malaysia.

Selepas kejutan pada PRU ke-13, Najib faham bahawa sekiranya BN bertembung secara langsung dengan Pakatan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi, BN akan kehilangan kuasa di peringkat persekutuan.

Untuk menumbangkan pembangkang, Najib cuba menghapuskan Pakatan Rakyat dengan menyingkirkan Anwar, selain mengumpan PAS menyokong Umno dan memainkan sentimen kononnya pakatan pembangkang didalangi DAP dan Lim Kit Siang.

Namun Najib tidak menjangkakan isu 1MDB bertukar menjadi skandal yang begitu besar yang akhirnya menyebabkan perpecahan Umno. Beliau juga tidak menyangka Tun Dr Mahathir Mohamad akan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan menyertai Pakatan Harapan, yang seterusnya membolehkan pembangkang bangkit semula lebih kuat berbanding sebelumnya.

Dengan menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri ke-7 dan Anwar yang ke-8, selain penyelesaian rundingan untuk 165 kerusi parlimen di Semenanjung pada 7 Januari 2018, diikuti pelancaran manifesto rasmi - yang digelar sebagai Buku Harapan - Pakatan Harapan bersedia untuk mengambil alih Putrajaya.

Pada PRU ke-14, Najib akan cuba sedaya upaya "mencuri" pilihan raya. Itu yang sedang dilakukannya sekarang, dengan tiga muslihat bertujuan menyingkirkan Pakatan Harapan.

Pertama, dengan memanipulasi sistem pilihan raya melalui persempadanan semula. Sekiranya sempadan pengundian pilihan raya akan datang diluluskan, BN mampu meraih 60 peratus kerusi Parlimen dengan hanya memerlukan 40 peratus undi popular.

Tokoh penganalisis, Wong Chin Huat dalam menjelaskan hal ini malah memberitahu kemungkinan dengan 40 peratus undi itu, BN mampu meraih dua per tiga majoriti.

Laporan persempadanan semuala akan dibahaskan di Parlimen minggu ini dan dijangka akan diluluskan dengan majoriti mudah.

Pilihan raya umum akan datang akan jadi begitu mencabar buat Pakatan Harapan, terutamanya di Johor, Selangor dan Perak.

Muslihat kedua Najib adalah dengan mengekang media digital. Penggantungan portal berita The Malaysian Insight dan penggantungan beberapa kumpulan media sosial yang berpengaruh dalam tempoh beberapa minggu sebelum PRU boleh dilihat sebagai percubaan Najib mengekang media atas talian.

RUU Antiberita Tidak Benar dibentangkan di sesi Parlimen kali ini juga akan disalah guna ketika pilihan raya sebagai alat untuk menindas pengkritik kerajaan dan pemimpin pembangkang sementara cybertrooper BN menyebarkan fitnah di medium sama dengan menyerang Pakatan Harapan.

Kerajaan BN secara langsung dan tidak langsung mengawal semua media perdana namun masih takut dengan pengaruh media digital. Maka, undang-undang antiberita palsu dicipta bagi menghalang pembangkang menggunakan platform lain yang ada untuk menyampaikan maklumat kepada umum.

Ketiga, kerajaan Najib masuk campur dalam proses RoS mendaftaran pakatan pembangkang, termasuk cuba membatalkan pendaftaran DAP dan BERSATU.

Sejak era Pakatan Rakyat sedekad lalu sehingga pembentukan Pakatan Harapan hari ini, kita cuba mendaftar sebagai pakatan rasmi dan bertanding di bawah satu logo yang sama namun permohonan itu tidak pernah diluluskan RoS.

Akhirnya, semua ini menyebabkan perlawanan di padang yang tidak rata dengan BN dan Najib memiliki semua kuasa dan sumber memanipulasi pilihan raya. Namun tanpa sokongan rakyat, semua ini akan jadi tidak bererti.

Dalam menghadapi taktik kotor Najib yang mahu menghapuskan Pakatan Harapan, kita perlukan penyertaan daripada semua rakyat Malaysia bagi mengubah situasi dan memenangi perlawanan ini. Saya menyeru semua rakyat Malaysia tampil dan menjadikan PRU ke-14 sebagai titik permulaan dalam membaharui negara kita.


LIEW CHIN TONG adalah ahli parlimen Kluang yang merangkap pengerusi DAP Johor.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.