Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Bahagian Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini melabel peserta kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya BERSIH sebagai "anjing baju kuning".

Jamal berkata demikian sebagai mengulas kehadiran sekitar 500 peserta himpunan di hadapan bangunan Dewan Rakyat, pagi tadi.

"Kami minta pihak polis mengambil tindakan yang tegas kepada anjing-anjing baju kuning ini supaya didakwa di mahkamah.

"Kalau setakat beri amaran saja, ketua polis negara sudah memberi amaran tetapi mereka tetap melanggar (undang-undang) tanpa diambil tindakan.

"Jadi saya minta pihak polis tidak berkompromi dalam demonstrasi yang memalukan negara pagi tadi," katanya dalam sidang media di Pejabat Gerakan Gabungan NGO Malaysia, di Ampang, hari ini.

Terdahulu sekumpulan peserta BERSIH mengadakan himpunan aman bagi mendesak supaya laporan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dibentangkan.

BERSIH yang sinonim dengan baju kuning berpendapat terdapat banyak kelemahan pada cadangan SPR itu, selain mendakwa ia juga memberi kelebihan besar kepada BN jika diluluskan.

Pembentangan itu dibuat ketika sesi Parlimen Malaysia semakin sampai ke penghujungnya dan terbubar secara automatik pada hujung Jun nanti.

Menurut Jamal ketidakhadiran kumpulan Baju Merah ke himpunan tersebut juga bagi mengelakkan keadaan lebih buruk.

"Kita tahu kalau kita turun pagi tadi bukan setakat 10,000 tetapi lebih daripada itu akan keluar, jadi saya ucapkan ribuan terima kasih kerana akur untuk tidak turun pagi tadi.

"Kami yakin kalau kami turun pagi tadi akan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Gimik pembangkang

Tambah Jamal, himpunan di luar kawasan parlimen itu hanyalah gimik pakatan pembangkang untuk menonjolkan mereka sebagai hero.

"Kekecohan yang berlaku adalah biasa tetapi melihat kepada keadaan luar biasa kerana mereka sudah tahu ini persidangan terakhir, walaupun mereka digantung atau dikenakan tindakan disiplin sekali pun mereka tidak kisah.

"Dan kesempatan ini juga mereka ingin tunjukkan kepada rakyat di luar parlimen itu seolah-olah mereka ini adalah hero, sebenarnya mereka ini tidak pun mengikut peraturan dan undang-undang yang ada dalam parlimen ketika mereka mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen pada PRU ke-13 lalu," katanya.

Tambahnya lagi, meskipun himpunan sedemikian diadakan setiap hari ia tetap tidak akan mendapat sambutan.

Ini kerana, menurutnya, rakyat sudah muak dengan apa yang dibawakan oleh pakatan pembangkang.

Sementara itu mengulas laporan persempadan semula SPR itu, Jamal menerima seadanya dan bersedia berdepan dengan apa jua yang telah diputuskan oleh kerajaan.

"Sama ada menyokong atau tidak, perkara (persempadanan semula SPR) ini adalah termaktub dalam Perlembagaan yang mana SPR boleh kaji semula persempadan pilihan raya di dalam negara ini selepas 8 tahun.

"Jadi, sebab itu pada hari ini diadakan usul dan perbahasan di dalam Dewan Rakyat. Jadi, jika usul ini dapat diluluskan kami akan menyokong persempadanan tersebut dan jika tidak lulus juga kami juga akan turut menyokong usul itu.

"Ini adalah hak yang sudah termaktub di dalam perlembagaan negara kita jadi kita harus menghormati dan mengikut lunas undang-undang.

"Kalau perkara tersebut telah diputuskan mengikut lunas undang-undang kita sebagi rakyat perlu menyokong walaupun saya melihat perbuatan pemimpin blok pembangkang ini tidak lain tidak bukan bersifat politik semata-mata untuk menggambarkan kononnya apa yang berlaku di dalam persempadanan semula ini tidak adil," katanya.

Lihat Komen
ADS