Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Panglima ATM seru tentera, polis setia pada kerajaan

Ketika demam pilihan raya semakin hampir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menggesa anggota tentera dan polis bersyukur dan setia kepada kerajaan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam ucapannya malam tadi, Raja Mohamed Affandi berkata Najib sentiasa memberi perhatian khusus kepada pasukan keselamatan di samping menyediakan aset keselamatan terbaik.

Selain itu beliau berkata kerajaan juga telah melakukan banyak perkara untuk menjaga kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka.

"Keluarga kita disediakan rumah keluarga yang baik agar rehat kita sempurna. Manakala anak isteri kita selesa terpelihara.

"Untuk tangani kos sara hidup, bagi anggota kita dapat skim perkhidmatan yang baik," katanya pada majlis makan malam bersama anggota polis dan tentera di Wisma Perwira Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Mohamed Affandi berkata kerajaan juga sentiasa menjaga kebajikan anggota veteran dan pegawai polis.

"Kita sebagai perajurit dan penjaga keamanan bangsa perlu ada rasa kesyukuran di atas nikmat yang telah diberi ini.

"Saya seru manifestasikan segala ini dan unjurkan rasa dengan beri kesetiaan tak berbelah bahagi kepada negara dan kerajaan yang dipimpin oleh perdana menteri," katanya di hadapan kira-kira 460 anggota tentera dan polis.

Terdahulu dalam majlis malam tadi perdana menteri berkata anggota polis dan tentera mungkin kehilangan kerja jika negara ini dipimpin individu yang salah.

Najib juga memberi amaran kemungkinan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) akan dibubarkan di bawah pentadbiran yang berasaskan konsep Malaysian Malaysia.

Walaupun tidak menamakan mana-mana parti, kenyataan itu jelas merujuk kepada DAP, yang digambarkan sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Majlis malam tadi turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri HIshammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Lihat Komen
ADS