Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR kecam pembunuhan terbaru warga Palestin
Diterbitkan:  Mar 31, 2018 11:20 PM
Dikemaskini: 3:29 PM

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan 16 orang warga Palestin oleh askar Israel di Gaza semalam.

Presiden PKR Datuk Wan Azizah Ismail menyifatkan konflik berdarah Israel-Palestin yang terbaru ini mengundang kecaman umat Islam dan kutukan masyarakat antarabangsa.

"Pembunuhan oleh rejim Zionis ini menimbulkan kemarahan bukan sahaja umat Islam malah juga masyarakat antarabangsa lainnya seperti yang disaksikan kenyataan Setiausaha Agung PBB, Antonio Gueterez.

"Saya difahamkan 17,000 warga Palestin menunjuk perasaan di beberapa kawasan sekitar Gaza, tetapi mereka diserang sehingga mengakibatkan beratus tercedera selain kematian yang dinyatakan tadi," kata calon timbalan perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam suatu kenyataan media malam ini.

Wan Azizah juga menggesa Malaysia memainkan peranan proaktif dalam PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Sebagai anggota PBB dan OIC, Malaysia perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menyelar tindakan rejim Israel ini.

"Selain menggesa siasatan bebas dan terbuka ke atas kejadian ini, saya menggesa Kerajaan Malaysia menghentikan serta menyekat sebarang aktiviti perdagangan dengan negara Israel secara langsung mahupun tidak," kata Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu lagi.

Data rasmi diterbitkan Biro Statistik Pusat pada 2014, lapor The Times of Israel, menunjukkan hubungan dagang kedua-dua negara berkembang walaupun dalam keadaan berhati-hati.

Nilai dagangan antara kedua-dua negara dianggarkan sebanyak AS$1.5 bilion (RM5.9 bilion) setahun.

Palestin sedang berkabung selepas 16 orang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel di sempadan Gaza, lapor agensi penyiaran BBC.

Perarakan pulang

Laporan BBC itu menyatakan bantahan yang berlangsung pada hari Jumaat itu merupakan konflik berdarah yang pertama semenjak perang Gaza pada 2014.

Menurut laporan BBC lagi, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengutuk keganasan tersebut selepas mengadakan sidang tergempar hari ini.

Manakala itu, BBC juga memetik kenyataan duta Israel ke PBB, Danny Danon yang menyalahkan Hamas dalam pertumpahan darah itu. Hamas merupakan kumpulan yang menguasai Semenanjung Gaza di wilayah Palestin.

Semalam, ribuan warga Palestin berarak ke sempadan dalam permulaan bantahan selama enam minggu yang dikenali sebagai 'Perarakan Besar Untuk Pulang'.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS