Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN Kelantan gesa polis siasat audio 'kawan CIA'

Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat penglibatan individu tertentu dengan ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat yang disebarkan melalui satu rakaman audio di media sosial, baru-baru ini.

Timbalan Pemuda HARAPAN Kelantan, Asran Alias berkata, pihaknya tampil membuat laporan polis hari ini agar perkara ini disiasat.

"Kami berharap pihak polis dalam menyiasat kesahihan audio tersebut dan pemilik suara yang bercakap.

"Ini satu isu serius melibatkan unsur-unsur penglibatan dan campur tangan pihak asing dalam politik serta pemerintahan negara, " katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, isu rakaman audio yang didakwa melibatkan anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz itu mula tersebar di media sosial pada akhir Feb lalu.

Bagaimanapun rakaman keseluruhan audio itu hanya didedahkan di Facebook sebulan kemudian.

Antara petikan rakaman audio itu berbunyi: "Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA. CIA Amerika tu ana kenal orang dia yang sentiasa berhubung dengan ana."

Bagaimanapun Nik Abduh sudah membuat penafian mengenainya sehari kemudian dengan menyifatkan tuduhan itu "karut, mengarut dan fitnah" terhadap dirinya serta PAS.

Sementara itu Asran berkata, kenyataan dalam rakaman audio secara jelas menghina kemuliaan institusi diraja khusus Yang Dipertuan Agong.

"Individu tersebut menyatakan hubungannya melebihi daripada pihak risikan.

"Hal ini sangat membimbangkan keselamatan negara apabila ada campur tangan. Kenyataan tersebut juga ada menyatakan contoh situasi perang yang berlaku di Afghanistan yang berlawan sesama sendiri.

"Ideologi dan pemikiran begini tidak sepatutnya berlaku dalam hidup bermasyarakat majmuk dan berbilang kaum di Malaysia, " katanya.

Terdahulu, laporan polis terhadap isu sama turut dibuat oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor.

Mereka berkata, antara intipati lain dalam audio tersebut adalah pengakuan individu berkenaan mempunyai maklumat sebenar dalam isu derma RM2.6 bilion dan isu Pulau Pinang yang dipercayai ada kaitan dengan siasatan dan kes mahkamah yang sedang berlangsung sekarang.

Lihat Komen
ADS