Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menegur Tun Dr Mahathir Mohamad agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan hukum-hakam agama.
Beliau mengulas artikel bekas perdana menteri itu diblognya 31 Mac lalu yang menurutnya menunjukkan kekeliruan dalam pengertian 'sunat' dan 'sunnah'.
Dalam artikel itu, Mahathir antaranya berkata hadis Nabi Muhammad adalah 'sunnah' dalam Islam yang menurutnya bermaksud orang Islam akan mendapat pahala jika mengamalnya tetapi tidak berdosa jika tidak berbuat demikian.
Mohd Asri berkata, 'sunnah' yang dimaksudkan Mahathir sebenarnya sunat, iaitu salah satu hukum dalam Islam selain wajib, makruh dan haram.
Manakala maksud sebenar sunnah pula adalah hadis atau amalan Nabi Muhammad yang menjelaskan hukum-hakam dalam agama, katanya lagi.
"Saya rasa ini perlu diperbetul...Sunnah atau hadis adalah sumber hukum. Kita memerlukannya, misalnya cara untuk solat, walaupun al-Quran ada (sebut) kita perlukan penjelasan mengenai hukum-hakam.

"Saya rasa Dr Mahathir kena berhati-hati sedikit di sini. Namun sebahagian yang beliau sebut memang betul, macam soal hadis palsu dan kita memang lawan hadis palsu," katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Mengulas perbezaan al-Quran dan hadis, Mahathir dalam artikelnya membangkitkan masalah hadis palsu dengan berkata kajian Imam Al-Bukhari mendapati daripada 600,000 hadis, hanya 7,000 yang disahkan sahih.
Al-Quran pula, katanya lagi, adalah wahyu Tuhan yang tidak akan berubah dan maka perlu diutamakan jika terdapat perbezaan dengan hadis.
Mohd Asri berkata memang ada agamawan yang sentiasa menyebarkan hadis palsu dan ia perlu ditangani bagi menghentikan salah faham terhadap agama.
Beliau juga mengingatkan ahli politik agar tidak menyentuh persoalan yang bukan termasuk dalam kepakaran mereka.
"Adakala orang politik ini dia bercakap bidang lain. Jika (mahu bercakap) dalam bidang politik tentulah kita tidak pertikai," katanya lagi.
