Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS jamin akta antiberita palsu diguna dengan adil
Diterbitkan:  Apr 2, 2018 6:50 PM
Dikemaskini: 3:45 PM

Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Khairuddin Aman Razali memberi jaminan Rang Undang-undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 akan dilaksanakan dengan adil selepas diluluskan nanti.

Beliau yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak PAS berkata demikian dalam kenyataan sebaik sahaja Dewan Rakyat meluluskan bacaan kedua RUU itu hari ini, dengan 123 undi menyokong dan 64 menolak.

Kesemua 11 anggota parlimen PAS yang menghadiri sidang mengundi menyokong RUU itu.

"PAS yakin akan memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14. PAS memberi jaminan akta ini akan dilaksanakan secara telus dan adil.

"Apa-apa akta yang baik akan menjadi (lebih) baik apabila ia diuruskan pemerintah yang baik," kata AJK PAS Pusat itu juga.

Temerloh, Marang tak hadir undian

Hanya dua anggota parlimen parti itu yang tidak hadir ketika undian, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang) dan Nasrudin Hassan (Temerloh).

Khairuddin mendakwa berita palsu telah menjadi "seperti makanan" kepada rakyat Malaysia, dan ramai yang telah menjadi mangsanya termasuk PAS.

"Kalau dulu media arus perdana kerajaan mensasarkan PAS dengan pelabgai fitnah, kini media sosial dan media atas talian pula yang digunakan untuk mencipta fitnah terhadap PAS.

"Sampai masa hukuman yang lebih berat dengan mekanisme pengadilan yang lebih cekap diperkenalkan menerusi akta baru ini," katanya lagi.

RUU Anti Berita Tidak Benar 2018 memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda RM500,000 kepada mereka yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.

RUU itu juga memasukkan peruntukan untuk membenarkan permohonan perintah mahkamah untuk membuang bahan yang disahkan sebagai berita palsu.

Denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan jika gagal berbuat demikian.

Walaupun ada peruntukan untuk mencabar perintah mahkamah itu, Seksyen 8(3) RUU menyatakan rayuan tidak boleh dibuat jika kerajaan mendapat perintah itu atas dasar keselamatan negara.

Lihat Komen
ADS