Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dewan Rakyat lulus RUU antiberita palsu, dengan pindaan

PARLIMEN | Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018, yang bertujuan mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan.

Rang undang-undang itu diluluskan menerusi suara majoriti di peringkat jawatankuasa dengan pindaan pada Fasal 4 bagi menggantikan perkataan 'diketahuinya' (knowingly) dengan perkataan 'niat jahat' (maliciously).

Pindaan itu juga melibatkan pengurangan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada enam tahun pada Fasal 5.

Terdahulu, G. Manivannan (PKR-Kapar) meminta usul undi belah bahagi dilakukan di peringkat dasar selepas sesi penggulungan rang undang-undang berkenaan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian mengumumkan rang undang-undang itu diluluskan dengan 123 undi menyokong berbanding 64 yang menentang.

Menerusi rang undang-undang itu, ia mentafsirkan berita tidak benar sebagai apa-apa jenis penerbitan berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagian atau keseluruhannya, dalam apa-apa bentuk termasuk rencana, visual atau rakaman audio, adalah palsu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS