Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PAS bersekongkol dengan Umno sokong RUU antiberita palsu'
Diterbitkan:  Apr 3, 2018 10:46 AM
Dikemaskini: 2:58 AM

PAS menunjukkan sikapnya yang bersekongkol dengan Umno apabila menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak benar, kata Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil.

"Sikap PAS yang menyokong undang-undang ini menunjukkan bahawa mereka juga sudah bersekongkol dengan Umno, bukan sahaja mempertahankan salah laku pemimpin Umno, tetapi juga bagi menutup segala kepincangan pemimpin mereka dan pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kenyataan anggota parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali yang memberi jaminan PAS akan berlaku adil dalam melaksanakan undang-undang itu sekiranya menjadi kerajaan.

"Ini menunjukkan sikap sebenar PAS sebagai ‘king maker’ untuk bersama Umno dan Barisan Nasional semasa dan selepas PRU Ke-14 ini," kata Faiz.

Selain itu, katanya, kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bahawa undang-undang tersebut menepati ciri-ciri Islam juga jauh meleset.

"Islam melarang umatnya untuk cenderung kepada kezaliman seperti mana firman Allah dalam surah Hud:113.

"Sebaiknya, nas agama tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik," katanya.

Beliau berkata undang-undang dilihat digubal bagi melindungi skandal dan salah laku pemimpin kerajaan apabila seksyen 7 memberikan kuasa kepada mahkamah untuk membuang berita yang disahkan palsu.

"Kebenaran skandal kemasukan RM2.6 bilion wang 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak boleh dianggap palsu oleh kerajaan kerana skandal tersebut telahpun dibersihkan oleh autoriti yang dikuasai perdana menteri seperti pihak polis dan SPRM," katanya.

'Tahukah parti suci kesan RUU?'

Sementara itu anggota parlimen Sepang, Hanipa Maidin turut mempersoalkan sama ada PAS mengetahui kesan di sebalik RUU berkenaan.

"Jujurnya saya was-was parti suci tahu dan arif kesan sokongan bulatnya kepada RUU Anti Berita Tidak Benar 2018 yang dibawa oleh BN.

"Jangan mereka dok ingat itu RUU 355 udah le," katanya.

Menurut Hanipa, di bawah seksyen 3 RUU tersebut, seseorang bukan warga negara Malaysia yang tinggal di luar negara masih boleh didakwa di negara ini jika didapati melakukan kesalahan berkaitan dengan berita tidak benar ke atas rakyat Malaysia.

"Saya katakan dalam kes jenayah ia bukan sahaja melibatkan pendakwaan semata-mata tetapi juga penyiasatan dan sekali gus keterangan para saksi di luar negara.

"Dan ini semua melibatkan kos sekaligus wang rakyat akan dibelanjakan (dikeluarkan). Penyiasatan dan pendakwaan mana- mana orang yang berada di luar wilayah atau di luar bidang kuasa bukanlah suatu yang murah kosnya!" katanya.

Kaatya, seksyen itu berpotensi mengeruhkan atau menjejaskan hubungan diplomatik antara negara ini dengan mana-mana negara berdaulat yang lain.

Lihat Komen
ADS