Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahidan: Terima kasih PAS sokong RUU antiberita palsu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk PAS yang menyokong Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar.

Ini kerana, menurut Shahidan, RUU berkenaan yang dilluluskan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam menepati ajaran Islam dan bertujuan melindungi rakyat daripada berita palsu.

"Saya amat berterima kasih dengan semua pihak termasuk PAS yang sokong RUU berkenaan.

"Ia berlandaskan hukum Islam berhubung berita palsu. Sudah pasti saya rasa rakan-rakan (di Parlimen) yang menyokong RUU ini adalah (untuk) kepentingan rakyat dan bukan kepentingan kerajaan BN.

"Rakyat kadang jadi mangsa kepada berita palsu, bukan sahaja menteri dan mereka (rakyat) tidak mendapat perlindungan," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan berhubung 11 anggota parlimen PAS yang menyokong RUU berkenaan di Dewan Rakyat semalam.

Selain itu, beberapa orang pemimpin parti Islam itu turut secara terbuka menyatakan sokongan mereka terhadap RUU berkenaan.

Antaranya, anggota parlimen PAS Kuala Nerus Datuk Khairuddin Aman Razali yang memberi jaminanRUU itu akan dilaksanakan dengan adil jika PAS memerintah negara.

Khairuddin juga mendakwa berita palsu telah menjadi 'seperti makanan' kepada rakyat Malaysia dan ramai yang telah menjadi mangsa termasuk pemimpin PAS.

Anggota parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula memberikan 10 sebab mengapa RUU itu mesti disokong.

Antaranya beliau berkata kepalsuan dan penipuan adalah fitnah yang akan menghancurkan masyarakat serta negara.

RUU Antiberita Tidak Benar 2018 memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda RM500,000 kepada mereka yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.

RUU itu memasukkan peruntukan untuk membenarkan permohonan perintah mahkamah untuk membuang bahan yang disahkan sebagai berita palsu.

Denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan jika gagal berbuat demikian.

Walaupun ada peruntukan untuk mencabar perintah mahkamah itu, Seksyen 8(3) RUU menyatakan rayuan tidak boleh dibuat jika kerajaan mendapat perintah berkenaan atas dasar keselamatan negara.

Lihat Komen
ADS