Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Gabungan Pemimpin Akar Umbi Umno kesal dan kecewa dengan tindakan seorang ketua bahagian Umno di Kuala Lumpur yang ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di ibu negara, malam tadi.

Ketua Cawangan Umno Tasik Jaya Bandar, Mejar (B) Razali Zakaria berkata tindakan tegas termasuk memecat keahlian pemimpin parti itu perlu diambil segera demi maruah parti Melayu itu.

“Atas kesedaran sebagai ahli Umno yang prihatin kami mengambil ketetapan mendesak Umno Malaysia menyiasat dengan terperinci serta mengambil tindakan tegas memecat ketua bahagian Umno terbabit.

“Umno juga perlu segera bertindak memecat apa jua jawatan yang disandang dalam kerajaan dan GLC demi nama baik dan kredibiliti Umno terus dipandang mulia di mata masyarakat terutama menjelang PRU 14 selain mengutamakan kepentingan parti daripada individu,” kata Razali (gambar) kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum ke ibu pejabat parti itu menggesa tindakan memecat ketua bahagian yang terlibat dengan najis dadah di Bangunan Menara Dato’ Onn di PWTC, hari ini.

Polis semalam mengesahkan seorang ketua bahagian Umno di Kuala Lumpur ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di ibu negara.

Lelaki, yang namanya tidak disiarkan Malaysiakini sementara mendapatkan ulasannya itu, didapati positif amphetamine dan methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah berkata, dalam serbuan itu, pemimpin terbabit bersama sekumpulan rakannya turut ditahan atas kesalahan yang sama.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Pusat Bandar, Syed Rosli Syed Harman apa yang berlaku kepada Umno hari ini merupakan malapetaka dan harus segera dibersihkan.

“Bagaimana Umno nak tonjolkan kepada masyarakat Umno parti yang boleh dijadikan contoh kalau pemimpinnya ambil syabu dan dadah.

“Isu pemimpin ambil dadah bukan sebarang pemimpin, beliau adalah merupakan ketua Umno bahagian. Jadi, sebagai ketua Umno bahagian ditangkap oleh polis hisap dadah, apa kita nak cakap.

“Kita sebagai ahli Umno dibawah ini yang bekerja kuat bagi memastikan kemenangan Umno popular tetapi ada pemimpin menghancurkan parti Umno ini.

“Ini bukan kali pertama tetapi sudah banyak kali berlaku, beberapa minggu lalu Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohammad Hassan membuat kenyataan seperti gangster. Ini bukan budaya gangster, pemimpin Umno kena berubah terutama yang ambil dadah,” tegas Syed Rosli.

Kiasan terbalik meja

Namun begitu, Mohamad Hasan telah menafikan bahawa ucapannya ketika pelancaran Briged Gempur Pemuda Barisan Nasional (BN) baru-baru ini bertujuan menggalakkan budaya samseng dalam kalangan anggota parti itu.

"Bukan niat dan maksud saya menggalakkan budaya samseng dan keganasan...Saya cuma mahu menaikkan semangat Pemuda BN... Bukan sampai bergaduh. Itu bukan cara kita.

"Saya banyak berkias dan ibaratkan terbalikkan meja.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka menolak tanggapan perkara yang berlaku itu merupakan suatu sabotaj kepada Umno.

“Dia bukan soal sabotaj, bila timbul perkara sebegini ia akan jadikan alasan sabotaj dan sebagainya tapi kalau kita tengok soal dadah ini bukan datang satu dua hari atau setahun dua sebalikya mungkin dah bertahun.

Jam 2 pagi di kelab malam

“Jadi, tidak ada isu sabotaj tetapi ia adalah karektar pemimpin tersebut sendiri,” kata Razali.

“Bagi saya sebagai seorang pemimpin apa kita buat jam dua pagi?" Soal Syed Rosli pula.

“Saya jam dua pagi saya tidur dengan anak bini saya, jadi saya tak tahu apa pemimpin Umno buat jam dua pagi di kelab malam. Jadi, mesti ada benda tak baik dan saya tak fikir ada unsur sabotaj dengan umur beliau sebegitu,” katanya lagi.

Tambah Razali lagi, Umno kini perlu membuat saringan kepada semua calon parti itu pada pilihan raya akan datang bagi mengelak perkara yang tidak diingini sekali gus bagi menentukan calon bersih daripada semua gejala rasuah, dadah dan budaya samseng.

Katanya lagi, Umno juga perlu membuat kenyataan rasmi berhubung perkara terbabit supaya ia menjadi peringatan kepada semua pemimpin parti itu bahawa kepentingan Umno mesti diutamakan daripada kepentingan individu.
 

Lihat Komen
ADS