Malaysiakini
BERITA

Ketua Umno bahagian: Ini lebih daripada agenda politik

Kow Gah Chie

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Apr 2018, 6:35 pagi

Ketua Umno bahagian Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar mengakui dirinya ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kelab malam, di Kuala Lumpur, pada awal pagi Isnin lalu.

Namun, dakwanya, beliau disabotaj dan menafikan dirinya menggunakan dadah meskipun ujian air kencing yang dijalankan oleh polis menunjukkan ia adalah positif.

Rizalman juga mendakwa kejadian itu adalah satu perangkap untuk menjejaskan peluangnya menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

“Saya syak kemungkinan lebih daripada agenda politik, sama ada siapa yang lakukan saya tak pasti,” katanya pada satu sidang akhbar di ibu negara hari ini untuk menerangkan apa yang berlaku.

Rizalman berkata, kejadian yang berlaku itu sangat spesifik dan seakan dirancang oleh pihak tertentu berunsurkan politik dengan niat untuk menjatuhkan reputasinya sebagai pemimpin Umno di Bandar Tun Razak.

Menurutnya, beliau tidak akan sesekali meletakkan jawatan yang disandang susulan kes itu dan menyerahkan segalanya kepada pucuk pimpinan parti dan BN untuk membuat keputusan.

Minuman keras

Menceritakan apa yang berlaku pada kejadian itu, katanya, beliau ke kelab berkenaan untuk berhibur dan hanya mengambil kopi dan minuman ringan.

“Tiada minuman keras mahupun dadah. Itu yang saya pelik bagaimana saringan awal mendapati saya positif dadah.

“Saya boleh katakan ini perangkap kerana tidak mengambil dadah dan ketika ditahan pun saya normal serta tidak khayal,” katanya.

Disoal wartawan mengapa beliau memilih ke kelab hiburan berkenaan dan bukannya gerai atau restoran untuk berbual bersama rakan-rakannya, Rizalaman berkata, beliau gemar menyanyi.

I love to sing, so you can drag (?) with me,” katanya sambil memberitahu beliau sempat mendendangkan dua atau tiga lagu sebelum ditahan pihak berkuasa.

Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak kini dipegang oleh Tan Sri Khalid Ibrahim semasa bersama PKR pada pilihan raya umum ke-13.

Secara tradisi, BN menyerahkan kerusi itu kepada MCA untuk ditandingi tetapi akhir-akhir ini akar umbi Umno melobi agar kerusi majoriti Melayu berkenaan diberikan kepada parti tersebut.

Rebutan MCA-Umno

MCA juga telah menamakan Ketua Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Chew Yin Keen sebagai calon manakala Umno dipercayai mahu Rizalaman bertanding di kerusi berkenaan.

Disoal mengenai perebutan kerusi oleh kedua-dua parti komponen BN itu, Rizalman enggan menjawap secara terang-terangan.

“Tidak, tidak, kamu tak boleh tanya saya soalan ini, tidak adil bagi saya untuk menjawap.

“Dalam politik kita ada macam-macam musuh, kita ada kawan dan musuh yang datang dari segala sudut, susah untuk saya jawap.

“Tetapi saya tegas bahawa diri saya diperangkap. Tapi siapa, saya tidak tahu,” katanya.

Diasak sama ada beliau menolak MCA yang cuba memerangkapnya, ini jawapan Rizalman.

“Eh? No, no, no.”

Beliau berkata, adalah tidak adil bagi dirinya dipersalahkan kerana sehingga kini beliau belum disabitkan kesalahan dan didakwa di mahkmah.

“Kenapa disebabkan perkara yang masih tidak pasti ini menjejaskan peluang saya disenaraikan sebagai calon BN pada pilihan raya akan datang?

“Saya bersih dan telah terlibat dalam politik selama 14 tahun. Jangan kerana isu kecil ini sumbangan saya secara konsisten dilupakan,” katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.