Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Singapura larang kempen BERSIH Global
Diterbitkan:  Apr 4, 2018 1:15 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

Polis Singapura tidak membenarkan warga asing, termasuk rakyat Malaysia yang berada di republik itu menjalankan kempen politik.

"Pasukan polis Singapura sedar seruan terhadap rakyat Malaysia di luar negara bagi menyokong aktiviti politik berhubung pilihan raya umum di Malaysia, termasuk BERSIH Global.

"Warga asing yang melawat, bekerja atau tinggal di Singapura tidak boleh menggunakan Singapura sebagai platform untuk meneruskan tujuan politik mereka," kata polis Singapura dalam kenyataan hari ini.

Pihak berkuasa itu berkata, warga asing di republik itu harus mematuhi undang-undang seperti larangan berhimpun atau menghadapi penalti termasuk visa atau pas kerja mereka ditamatkan.

"Polis tidak akan memberi sebarang keizinan untuk majlis dianjurkan oleh atau melibatkan bukan warga Singapura bagi tujuan kempen politik atau pilihan raya.

"Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menganjurkan atau menyertai perhimpunan awam yang melanggar undang-undang," tambah polis Singapura.

Pada 28 Mac, Global BERSIH yang berpusat di Geneva menggesa rakyat Malaysia yang tinggal di Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia agar pulang mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Rakyat Malaysia yang tinggal di negara-negara berkenaan tidak layak menjadi pengundi pos walaupun ia terpakai di negara lain.

Global BERSIH menganggarkan terdapat setengah juta warganegara Malaysia tinggal di Singapura pada masa ini.

Kumpulan itu berkata kempen "JomBalikUndi" pada tahun 2013 adalah kejayaan besar dalam membantu sejumlah rakyat Malaysia yang berada di Singapura pulang mengundi.

"Kempen ini bukan desakan agenda mana-mana parti politik dan mengalu-alukan semua rakyat Malaysia yang mahu menggunakan hak perlembagaan mereka untuk membuang undi.

"Kami menyeru pihak berkuasa yang berkaitan di Singapura dan Malaysia, mengiktiraf hak rakyat Malaysia yang berada di Singapura untuk membuang undi mereka dan memberi kebenaran keluar masuk di pusat pemeriksaan imigresen," kata kumpulan itu.

Lihat Komen
ADS