Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa jua keaadaan Askar Melayu tak akan dibubar, kata Aziz Bari
Diterbitkan:  Apr 4, 2018 1:44 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) tidak mungkin dibubarkan walau apa juga keadaan, kata Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari.

Ini kerana menurut beliau, pasukan itu dilindungi Perlembagaan Persekutuan dan Majlis Raja-Raja.

“Pertama RAMD ada perlindungan perlembagaan; ia dikecualikan daripada prinsip sama rata yang menjadi tonggak perlembagaan - lihat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua Majlis Angkatan Tentera yang merupakan badan tertinggi yang mentadbirkan ATM turut dianggotai oleh wakil Majlis Raja-Raja.

“Adalah sukar untuk memansuhkan sesuatu yang penubuhannya diminta oleh Raja-Raja sendiri (pada tahun 1933),” katanya yang dipetik portal Roketkini.

Abdul Aziz mengulas dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 30 Mac lalu bahawa anggota polis dan tentera mungkin akan kehilangan kerja jika negara ini dipimpin oleh orang yang salah.

Malah, dakwa Najib jika rakyat tersilap langkah memilih pemimpin, kerajaan yang ditubuhkan nanti mungkin akan membubarkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

"Bagaimana kalau mereka dengan niat tersirat, yang tak faham asal-usul sejarah negara kita - bagaimana kalau mereka misalnya mencadangkan supaya RAMD dibubarkan kerana ia tidak sesuai dengan konsep Malaysian Malaysia?

"Apa implikasinya kepada negara kita? Saya rasa saya tak perlu jawab," kata Najib pada majlis makan malam bersama anggota polis dan tentera itu.

Momokan Umno

Mengulas lanjut, Aziz yang kini bersama DAP berkata, apa pun maksud ‘Malaysian Malaysia’ – termasuk ketakutan dan pembohongan dari Umno, RAMD tetap tidak boleh dimansuhkan.

Katanya, dakwaan itu hanya momokan Umno selama ini yang bertujuan menakut-nakutkan orang Melayu.

“Sama seperti dakwaan Umno yang kononnya DAP akan memansuhkan institusi raja, kedudukan Islam, bahasa Melayu dan juga kedudukan istimewa Melayu,” katanya sambil menambah bahawa semua hak dan kedudukan istimewa itu dilindungi Perlembagaan.

Beliau turut menempelak dakwaan kerajaan bahawa kakitangan awam perlu setia kepada parti yang memerintah.

“Angkatan tentera, polis dan kakitangan perkhidmatan awam perlu memberi taat setia kepada Raja dan negara dan bukannya kepada perdana menteri atau parti yang memerintah.

“Mereka boleh mengundi apa juga parti yang mereka yakini; cuma tidak boleh terlibat secara langsung dalam politik,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS