Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Malaysia jadi ekonomi ke-24 terbesar dunia pada 2050

Malaysia, sebuah negara berekonomi sederhana, dijangka akan meningkat untuk menjadi negara ekonomi ke-24 terbesar di dunia menjelang 2050.

Rakan Urusan PwC Malaysia, Sridharan Nair, berkata Malaysia, sekarang ini berada pada tangga ke-27 dari segi sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada ekonomi global, perlu melabur dalam teknologi dan pendidikan bagi menambah baik kedudukannya.

"Malaysia memiliki reputasi yang mesra perniagaan dan pelaburan," katanya kepada Bernama semasa Sidang Kemuncak Perniagaan Majlis Asia Pasifik Dewan Perniagaan Amerika 2018 (APCAC 2018) di sini hari ini.

Katanya, ekonomi Malaysia berada di laluan pertumbuhan sejak 20 tahun lepas, ia masih bertahan walaupun berlaku beberapa ketidakstabilan dalam jangka pendek, yang memang dijangka daripada sebuah ekonomi yang sedang membangun.

Ia merupakan sebuah negara yang mudah untuk menjalankan perniagaan dan amat mesra perdagangan serta pelaburan.

Bagaimanapun, Malaysia perlu menangani isu kenaikan gaji selaras dengan peningkatan pertumbuhan ekonomi negara supaya ia dapat memberi manfaat secara berkesan kepada rakyatnya.

Katanya, walaupun Vietnam dan Indonesia berada pada penyenaraian ekonomi global yang lebih tinggi dari segi sumbangan kepada KDNK disebabkan oleh saiz penduduknya, prestasi Malaysia sebagai sebuah ekonomi sederhana sebenarnya, amat baik.

Semasa pembentangan beliau mengenai 'Abad Asia, tetapi Asia yang mana?' pada sidang kemuncak tahunan yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM), Nair berkata, tujuh ekonomi baru muncul (Mexico, Brazil, Turki, India, Rusia, China dan Indonesia) terus menguasai 10 ekonomi tertinggi di dunia pada 2050.

Asia Tenggara, menjadi tumpuan pelaburan Amerika Syarikat (AS) yang bernilai tinggi.

"Lokasi geografi Asia Tenggara yang strategik memberikan peluang untuk dijadikan platform ekonomi Asia-Pasifik dan bagi seluruh dunia," katanya.

Nair berkata menjelang 2050, China akan menjadi gergasi ekonomi global, diikuti India dan Indonesia berada di tangga keempat.

Sementara itu, Presiden AMCHAM, Ramzi Toubassy, berkata adalah jelas walaupun wujud ketegangan perdagangan antara China dan AS, Asia dijangka akan menguasai ekonomi antarabangsa dalam beberapa tahun lagi.

"Bahagian Asia peratus dalam KDNK global dijangka berkembang daripada 30 peratus pada 2016 kepada lebih 50 peratus menjelang 2050.

"Seperti yang sering kami beritahu, Asia adalah penting kepada AS dan apa yang berlaku ke atas AS menjadi penting kepada Asia, hubungan perniagaan dan perdagangannya sudah lama wujud dan sangat penting," kata Toubassy.

Bernama

Lihat Komen
ADS