Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN | Percaturan politik pilihan raya Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri masih dikenang ramai, terutama bagi generasi yang pernah terlibat secara langsung dalam proses berkenaan bertahun-tahun dulu.

Kelihaian Dr Mahathir memang diakui dan selalu berkesan. Justeru beliau bersama pasukannya akan bertindak tepat pada masa dan tempatnya untuk membenamkan peluru sulit bagi melumpuhkan lawan.

Insiden Tengku Razaleigh Hamzah dituduh memakai sigah tradisional bangsa Kadazandusun beberapa jam sebelum pilihan raya umum (PRU) kelapan adalah salah satu contohnya.

Dengan kejutan yang sebegitu rupa - dan langit 1990 bukanlah terbuka tanpa sempadan seperti sekarang - harapan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat menjadi kerajaan berkecai begitu saja.

Kini ketika cakap-cakap ramai meramalkan parlimen akan dibubarkan Jumaat ini, mungkinkah Datuk Seri Najib Razak akan mengikuti taktik Dr Mahathir itu?

Memang kalau diukur dari segi kemampuan melakukan kejutan, Najib jauh tercicir di belakang silat politik Dr Mahathir.

Bahawa akan ada saja sifir politik yang membekas dan mengejutkan daripada manusia bernama Dr Mahathir memang diketahui umum.

Berbeza pula dengan Najib. Kejutan - jika ada pernah diusahakan - tidaklah akan memberi ombak rasa yang mendalam. Dan bukan sekali dua ombak yang cuba diciptakan itu menjadi lelucon yang akan dikenang untuk tempoh yang lama.

Berpotensi diluluskan

Insiden "melabuhkan sauh" sambil mengembangkan layar adalah salah satu 'kejutan' yang gagal. Ia juga mengingatkan kita bahawa untuk bercakap tentang laut, memiliki darah bangsa pelaut saja tidak memadai.

Esok ialah hari terakhir sidang Dewan Rakyat bagi sesi ini. Ia juga sidang terakhir sebelum PRU ke-14 diadakan. Susah untuk diterima Najib dan pembantunya akan membiarkan detik itu berlalu begitu saja.

Akta Antiberita Tidak Benar sudah lepas. Persempadanan semula kawasan pilihan raya juga sudah lepas. Siang tadi beliau mengumumkan imbuhan menggiurkan buat penjawat awam.

Berdasarkan Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat esok, dapat dilihat rang undang-undang (RUU) persendirian ilham PAS diletakkan pada kedudukan kedua selepas cadangan pindaan pada Seksyen 10(4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957.

Semakan Malaysiakini menunjukkan pada aturan kedua ditulis Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) akan mencadangkan supada Dewan Rakyat memberi kebenaran mengikut Peraturan Mesyuarat 49 (1) supaya beliau mencadangkan supaya pindaan dibuat pada kandungan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Pindaan yang dicadangkan ialah untuk menggantikan perkataan "penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali" menjadi "penjara selama tempoh melebih 30 tahun atau denda melebih RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras denga tatacara jenayah syariah."

Mengikut kelaziman, peraturan mesyuarat yang berada pada kedudukan kedua berpeluang besar untuk dibahaskan.

Untuk rekod RUU itu yang turut dikenali sebagai RUU355 sudah dibentang oleh Abdul Hadi pada sesi sidang sebelum ini sebelum Speaker Dewan Rakyat menangguhkan perbahasannya.

Air di tempayan

Walaupun dikritik oleh parti pembangkang lain PAS kekal istiqamah yakin RUU dibawa presiden mereka akan dapat diluluskan juga.

Pada 24 Mac lalu Abdul Hadi menegaskan tugasnya membawa RUU itu sudah selesai dan tanggungjawab seterusnya kini terpikul di bahu kerajaan.

"Bila dia (kerajaan) nak bahas, nak undi, itu urusan kerajaan.

“Apa yang penting ialah kita dah berjaya melonjakkan RUU355 ini melalui usul yang pertama, kerana usul mestilah memenuhi syarat-syarat yang pertama terlebih dahulu,” katanya.

Selepas PAS memberikan sokongan padu dan pujian kepada RUU Antiberita Tidak Benar, sangat menarik untuk melihat nasib RUU355 ini di tangan Pandikar.

Ia juga terjadi ketika ramai orang masih teringat kepada rakaman audio yang didakwa suara Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang kononnya mengakui PAS menerima dana daripada Umno.

Nik Abduh sudah menafikan hal berkenaan dan menganggapnya sebagai fitnah karut dan marut.

Sama ada benar parlimen akan dibubarkan Jumaat ini atau tidak, ia masih jadi teka-teki yang menyakitkan hati. Namun esok riak yang ada di permukaan air Dewan Rakyat sangat menarik untuk diperhatikan.

Air yang tenang memang tak mustahil ada buaya. Cuma berbaloi untuk diingatkan, mendengar guruh di meja speaker air di tempayan elok disimpan dulu.

Awan yang gelap mungkin mengandung hujan, tetapi tidak semestinya turun pada detik yang kita mahukan. Di sana ada faktor lain yang perlu diambil kira, iaitu kedudukan anggota parlimen bukan Islam dalam BN.

Sesuatu usul memerlukan sokongan majoriti untuk diluluskan. Untuk rekod MCA, Gerakan dan MIC memang tekal menolak RUU berkenaan yang dianggap mereka membuka jalan kepada pelaksanaan undang-undang hudud.

Tapi itulah, seperti keyakinan PAS, tidak ada benda yang mustahil dalam RUU355 ini. Ia boleh jadi tikaman parah buat Pakatan Harapan, namun boleh juga menjadi belati yang memutuskan urat keting PAS.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS