Paling Popular
Terkini

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor percaya tuduhan penyalahgunaan dadah membabitkan Ketua Umno bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar berpunca daripada tindakan sabotaj.

"Kita tahu ada unsur-unsur sabotaj. Dua tiga minggu lepas kena pada Datuk Jo (Johari Abdul Ghani). Ini musim the silly times in politics ni.

"Dua hari lepas kena Datuk Rizalman. Tiga empat hari lagi tak tahu siapa lagi kena," kata Tengku Adnan kepada pemberita ketika ditemui di Putrajaya hari ini.

Ditanya sama ada tindakan sabotaj itu mungkin datang dari BN, Tengku Adnan menjawab: "Kita ada problem luar dalam".

Rizalman semalam mendakwa beliau disabotaj dan menafikan dirinya menggunakan dadah selepas ditahan di sebuah kelab malam.

Walaupun ujian air kencing menunjukkan keputusan positif, Rizalman mendakwa kejadian itu adalah satu perangkap untuk menjejaskan peluangnya menjadi calon BN bagi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau bagaimanapun enggan membuat spekulasi mengenai pihak yang mungkin memerangkapnya dan menolak kemungkinan itu dilakukan MCA.

MCA bertanding di Bandar Tun Razak sebanyak lima kali pada pilihan raya umum lalu dan Rizalman tahun lalu menuntut kerusi itu diserahkan kepada Umno.

Selepas penahanan Rizalman, satu sumber MCA yang dipetik oleh China Press berkata parti itu tidak yakin akan dapat mempertahankan Bandar Tun Razak.

Sementara itu Tengu Adnan yang juga Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan berkata parti itu akan menunggu hasil siasatan polis sebelum memutuskan tindakan terhadap Rizalman.

Beliau juga menggesa anggota Umno bahagian Bandar Tun Razak agar kekal tenang.

Lihat Komen
ADS