Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l RUU Antiberita Tidak Benar telah ada di meja kami para ahli Parlimen. Saya dah baca dan kaji keseluruhan RUU baru itu dan saya berani kata ia bertujuan untuk lindungi BN. Titik.

Hanya negara yang demokrasinya defisit dan pemimpinnya takut dengan rakyat dan bayang bayang sendiri yang perlukan RUU itu.

Perlukah negara kita ada undang-undang khas membanteras berita palsu?

Pada pendapat saya, tidak perlu. Kerana apa? Kerana negara kita sudah ada undang-undang yang lebih dari mencukupi untuk tangani berita palsu.

Mudahnya, berita palsu ini tergolong dalam kategori sama ada menipu atau memfitnah. Jika menipu, kita sudah ada seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jika memfitnah kita sudah ada seksyen 500 Kanun Keseksaan. Hatta memfitnah orang mati boleh didakwa macam yang berlaku ke atas Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Kedua-dua seksyen (seksyen 420 dan 500) berkaitan kesalahan jenayah. Jika memfitnah boleh juga disaman di bawah undang-undang sivil. Boleh tuntut gantirugi daripada orang yang memfitnah.

Jika siar berita palsu dengan niat jahat kita boleh saman atas dasar "malicious fslsehood". Jika berkata bohong dengan tujuan menghasut kita ada Akta Hasutan 1948. Hatta bercakap benar yang menghasut pun Akta Hasutan 1948 terpakai.

Kita juga ada Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (Akta 301) untuk hukum penerbit berita tidak benar [lihat seksyen 8A (1)].

Jika siar berita palsu di alam maya kita sudah ada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan sudah ada juga Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC).

Jika dilihat kepada seksyen 4 (1) Akta 588 ini, akta ini juga terpakai di luar Malaysia sama macam RUU berita tak benar ini. Lihat misalnya seksyen 211 berkaitan antara lain kandungan yang dilarang adalah kandungan palsu. Akta 588 ini ada 282 seksyen.

Kesimpulannya, memang langsung negara ini tak perlu pun Akta khusus tangani berita palsu.

Bila ada undang-undang baru maknanya polis, pendakwa raya, hakim, warden penjara ada kerja baru.

Kerja baru maknanya ada kos baru atau implikasi kewangan. Kos baru maknanya ada pebelanjaan baru. Maknanya duit dari kantong kerajaan kena keluar.
Bila duit keluar, kerajaan kena masukkan balik atau ganti balik duit itu . Maknanya, ada potensi duit rakyat kena diambil lagi.

Justeru itu, jangan ingat undang-undang tak ada kena mengena dengan duit rakyat atau ekonomi.


MOHAMED HANIPA MAIDIN adalah seorang peguam dan anggota parlimen Sepang yang kini mewakili parti AMANAH.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS