Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RUU355: PAS sandarkan harapan pada penggal depan pula

Setelah usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 terus gagal dibahaskan pada sesi parlimen kali ini, PAS kini menaruh harapan pada sidang seterusnya pula.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pihaknya akan menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya memasukkan RUU355 itu ke dalam penggal ke-14.

“Kita akan buat surat pada speaker, kita akan kemukakan usul kita sekali lagi, kalau tak di sambung, kita nak disenaraikan sekali lagi pada penggal 14,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Hari ini, RUU355 tidak akan dibahaskan di Dewan Rakyat, walaupun usul itu berada di tempat kedua dalam aturan urusan mesyuarat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said hanya mencadangkan untuk membahaskan usul dibawa menteri kewangan.

Usul pindaan Akta 355 mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pelaku kesalahan syariah.

Ia mencadangkan hukuman maksimum terhadap pesalah syariah dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan, daripada 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan rotan.

Sementara itu dalam sidang media itu, Takiyudin melahirkan kekecewaannya apabila Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU355, namun berpuas hati kerana dapat menyangkal tuduhan kononnya PAS gagal membawa usul ini sehingga habis.

Jelasnya, Dewan Rakyat berbaki lapan jam lagi sekiranya benar-benar ingin membahaskan RUU355 namun telah ditangguhkan sehingga selepas PRU14.

“Dalam hal ini kami (PAS) kecewa keadaan dalam parlimen, ada lapan jam kalau mahu bahas, kita bimbang juga kalau lepas pilihan raya ahli Parlimen PAS yang ada hari ini tidak ada lagi.

“Tapi PAS berpuas hati terhadap kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menyatakan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana telah menyelesaikan tugas beliau membentangkan usul tersebut,” katanya.

Takiyudin turut berkata perkara itu dapat menjernihkan keadaan dan tuduhan di luar sana yang mendakwa Abdul Hadi telah gagal membawa usul ini sehingga tidak dibenarkan dibahas di dalam Dewan Rakyat.

“Kenyataan speaker itu telah berjaya menyangkal dakwaan bahawa PAS gagal bawa Akta 355 ini sehingga habis. Walaupun Speaker maklumkan usul ini akan diangkat semula dalam persidangan selepas PRU14, namun tertakluk siapa jadi kerajaan nanti.

“Kami puas hati usul nak cadangkan Akta 355 ini dipinda telah dikemukakan, jawapan Speaker juga telah menghilangkan kekeliruan atau ada pihak nak menangguk di air keruh cari publisiti PAS gagal jalankan tanggungjawab,” jelasnya.

Takiyuddin berkata penangguhan perbahasaan itu tidak menjejaskan reputasi PAS menjelang PRU14 memandangkan parti Islam itu telah melakukan yang terbaik.

“Penangguhan ini bukan daripada mulut kami tetapi peraturan Speaker Dewan Rakyat. Jika rakyat nak tengok Akta 355 ini dilaksanakan, berilah mandat kepada PAS pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS