Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara kes saman Najib terhadap Tony Pua bermula 23 April
Diterbitkan:  Apr 5, 2018 3:23 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Datuk Seri Najib Razak dijangka memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dalam perbicaraan kes saman fitnah yang difailkannya terhadap Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee berhubung video siaran langsung berkaitan pembentangan Rang Undang Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili perdana menteri berkata mahkamah menetapkan lima hari untuk perbicaraan kes itu yang akan bermula pada 23 hingga 27 April.

"Pihak plaintif dijangka akan memanggil lima orang saksi termasuk perdana menteri untuk memberi keterangan manakala pihak defendan (Pua) akan mengemukakan 15 orang saksi," katanya selepas pengurusan kes saman itu di dalam kamar Hakim Datuk Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab hari ini yang turut dihadiri peguam Tan Cheng Leong mewakili Pua.

Sementara itu, Nor Hazira berkata rayuan Pua untuk mengetepikan perintah injunksi sementara yang diperoleh Najib terhadapnya (Pua) akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 18 Mei.

Mahkamah Rayuan pada 14 Feb lepas menolak rayuan Pua untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos 2017 yang membenarkan perintah injunksi sementara kepada Najib bagi menghalang Pua daripada terus menerbitkan kenyataan dan klip video yang didakwa memfitnah perdana menteri.

Pada 21 April 2017, Najib atas kapasiti peribadinya menyaman Pua atas dakwaan memfitnah berhubung kenyataan Pua dalam video siaran langsung berkaitan pembentangan Rang Undang Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib mendakwa Pua telah membuat satu kenyataan di ruang legar Bangunan Parlimen pada 6 April 2017, yang telah dirakamkan dan dimuat naik oleh defendan dan/atau ejen-ejennya dalam Facebook rasminya ‘Tony Pua’.

Plaintif mendakwa video siaran langsung berdurasi dua minit dan 21 saat itu bertajuk “BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill”, boleh diakses dan ditonton secara meluas dan mudah di Internet.

Najib mendakwa kenyataan dalam video siaran langsung itu mengandungi perkataan yang merujuk secara spesifik kepadanya dan membawa maksud bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa dengan memberi arahan melalui Kabinet kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat agar memberi laluan kepada anggota Parlimen Marang untuk mengusulkan Rang Undang-Undang Persendirian dan mengetepikan Rang Undang-Undang yang lain.

- Bernama

Lihat Komen
ADS