Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilik ECRL: Hanya 30 peratus pekerja asing
Diterbitkan:  Apr 5, 2018 4:24 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Pemilik Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) berkata hanya 30 peratus daripada sumber manusia yang terlibat dalam projek itu akan terdiri daripada warga asing dari China dan negara-negara Asia lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, firma itu berkata ketika ini, terdapat 1,718 pekerja yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan dan hanya 311 orang atau 18 peratus daripada mereka berasal dari China.

Projek ECRL dimiliki oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan. Kontraktor utama ialah China Communications Construction Company (CCCC).

MRL berkata terdapat usaha berterusan sejak September 2017 untuk merekrut pekerja tempatan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga di lembah Klang.

Pekerja berkenaan kemudiannya akan melalui program latihan yang meluas bagi memenuhi syarat mereka untuk pekerjaan oleh kontraktor induk atau subkontraktor.

“Adalah dianggarkan sebanyak 80,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung akan ditawarkan sepanjang tempoh pembinaan ECRL,” kata firma itu.

Sementara itu, MRL berkata CCCC akan akan terus memberikan keutamaan kepada penggunaan bahan-bahan binaan dari syarikat-syarikat tempatan di Malaysia.

Walaubagaimana pun, beberapa mesin dan peralatan khas seperti mesin pengorek terowong (tunnel boring machine), perlu dibawa masuk dari negara China dan dikendalikan oleh pakar-pakar untuk melancarkan kerja-kerja pembinaan terowong di lokasi-lokasi tertentu.

“Program latihan kami akan menawarkan latihan kepada anak tempatan bagi mengendalikan beberapa jenis jentera yang akan dibawa masuk dari China,” kata MRL.

Setakat Februari lalu, sebanyak 215 syarikat tempatan terlibat dalam pembinaan projek infra-rakyat ECRL, di mana bilangan ini terdiri daripada 26 syarikat perunding, 99 syarikat pembekal dan 90 kontraktor tempatan.

Lihat Komen
ADS