Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis Haris Ibrahim kekal bersalah, hukuman penjara diganti denda
Diterbitkan:  Apr 5, 2018 5:52 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan sabitan terhadap aktivis Haris Fathillah Mohamed Ibrahim yang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen dua tahun lalu atas tuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam ceramahnya, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah bagaimanapun menggantikan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap Haris Fathillah kepada denda RM4,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

"Mahkamah juga mendapati ada keterangan yang kuat dan membuktikan pertuduhan telah dibuat di peringkat Mahkamah Sesyen dengan penelitian maksimum di mana suatu kes prima facie berjaya dibuktikan terhadap tertuduh.

"Selain itu, pertuduhan ke atas tertuduh di bawah seksyen ini (Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948) bermula dengan hukuman denda dan ia merupakan sabitan pertama atas kesalahan ini," kata Hakim itu.

Haris Ibrahim didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Azman mengekalkan sabitan bersalah ke atas bekas peguam itu selepas mengambil kira faktor tertuduh tidak terkeliru dengan pertuduhan ke atasnya di bawah Seksyen 4(1)(b).

"Dalam kes ini, tertuduh juga tidak diprejudiskan dan tidak berlaku unsur salah laksana keadilan, oleh itu mahkamah tinggi ini akan tetap mengekalkan keputusan yang diputuskan oleh mahkamah bawahan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azmi Mashud mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Gobind Singh Deo bertindak bagi pihak Haris Ibrahim.

Pada 14 April 2016, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap Haris Ibrahim selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan memberi ucapan menghasut bagi membangkitkan kemarahan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara tidak sah.

Selain Haris Ibrahim, turut didakwa bersama ialah Naib Presiden PKR Chua Tian Chiang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, 55; aktivis mahasiswa propembangkang, Adam Adli Abd Halim, 29; aktivis Hishamuddin Md Rais, 67; anggota PAS Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 68; dan bekas pengerusi Solidariti Mahasiswa (SMM) Muhammad Safwan Anang@Talib, 29.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam 13 Mei 2013.

- Bernama

Lihat Komen
ADS