Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
ADUN paling tadah, DAP Melaka bergelut pulih keadaan

PRU14 l Melaka tidak pernah mempunyai pembangkang yang kuat, malah sejak kemerdekaan sehingga tahun 2013, hanya DAP yang berjaya bertapak di negeri itu.

Namun pada pilihan raya umum ke-13, akihirnya PKR dan PAS masing-masing berjaya menjejakkan kaki.

Melaka juga merupakan negeri ini juga di mana Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng memulakan kerjaya politik masing-masing.

Kit Siang tampil di Parlimen selepas beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Melaka yang baru diwujudkan pada tahun 1969.

Kerusi itu kekal sebagai kubu kuat DAP, kecuali pada tahun 2004 ketika Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi memimpin BN dan melakarkan kemenangan terbesar parti pemerintah itu.

Justeru, amat mengejutkan apabila pegangan DAP daripada enam daripada 28 kerusi di dewan negeri Melaka tiba-tiba berkurangan separuh pada Februari tahun lalu. Kerusi negeri pembangkang lain dipegang oleh PAS di Bukit Baru.

Dalam satu langkah mengejutkan, ADUN Duyong Goh Leong San, ADUN Bachang Lim Jak Wong dan ADUN Kesidang Chin Choong Seong mengumumkan peletakan jawatan mereka dari DAP.

Mereka turut disertai Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him. Semua mereka adalah veteran parti.

Lebih setahun kemudian, DAP Melaka kini mula merapatkan barisan dan mempersiapkan diri menjelang pilihan raya umum ke-14.

Jadi bapa angkat

Keutamaan sekarang, kata Setiausaha DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, adalah untuk memastikan perkhidmatan DAP kepasa masyarakat setempat tidak terjejas berikutan tindakan empat wakilnya yang berpaling tadah itu.

Khoo, yang juga adalah ADUN Ayer Keroh, berkata DAP Melaka telah menyerahkan tugas menjaga setiap kerusinya yang menjadi kawasan "bebas" kepada tiga wakil rakyat parti itu.

Selain dirinya, mereka adalah Tey Kok Kiew (Bandar Hilir) dan Lai Keun Ban (Kota Laksamana).

Khoo juga terpaksa menjalankan tugas ketua pembangkang negeri, yang ditinggalkan kosong berikutan peletakan jawatan Goh dari parti itu.

"Kami masing-masing jaga kawasan tambahan, kami jadi seperti bapa angkat," katanya kepada Malaysiakini.

Khoo mengakui bahawa ini bermakna bebanan kerja mereka meningkat dua kali tetapi katanya, mereka terpaksa berkorban ketika pada masa-masa sedemikian.

Beliau turut mengakui bahawa peletakan jawatan empat wakil rakyat DAP itu menyebabkan sebilangan pengundi kecewa, tetapi percaya usaha yang diambilnya dan rakan-rakan dapat membantu memulihkan keyakinan dalam parti.

Kepimpinan pusat DAP juga campur tangan dengan membentuk satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh Timbalan Setiausaha Agung, Teresa Kok; Setiausaha Organisasi, Anthony Loke dan Pengarah Biro Pendidikan Politik, Liew Chin Tong untuk membantu mereka.

Kit Siang dan Guan Eng juga melawat Melaka sejurus selepas wakil rakyat DAP berpaling tadah dengan memohon maaf kepada pengundi di sana.

Berjaya memujuk

Perletakan jawatan berkenaan susulan selepas lebih sedekad persaingan dalam parti.

Goh dan sekutunya digulingkan daripada kepimpinan pada pemilihan DAP Melaka 2015. Sebelum ini, kira-kira 10 tahun lalu, kumpulannya menggulingkan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew dari kepimpinan negeri.

Kumpulan itu menyalahkan Guan Eng atas kekalahan Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock di Kota Melaka pada pilihan raya umum 2004.

Walaupun kerjaya politik Guan Eng selamat dan beliau terus diangkat ke kepimpinan pusat namun dendam kedua-dua pihak berterusan.

DAP Melaka di bawah kepimpinan Goh menjadi semakin tidak toleran terhadap apa yang mereka anggap sebagai gangguan dari kepimpinan pusat.

Malah, Sim yang dicalonkan di kerusi Parlimen Kota Melaka pada pilihan raya 2013 juga mahu bertanding sebagai calon bebas di kerusi negeri Kota Laksamana selepas menuduh kepimpinan pusat campur tangan.

Krisis itu berjaya dielakkan selepas Kit Siang memujuk Sim supaya tidak berbuat demikian.

Sekutu Goh juga menuduh pemimpin pusat meletakan calon pilihan mereka apabila mereka digulingkan dalam pemilihan parti tahun 2015.

Semua ini memuncak pada bulan Februari 2017 apabila empat wakil rakyat itu akhirnya meletak jawatan dari DAP.

Guan Eng, semasa majlis memberi penghormatan kepada mendiang Kerk tahun lalu, membidas Sim tanpa menamakannya tetapi memuji peranan Kerk sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka sejak 1999. Beliau membandingkannya dengan seorang pemimpin yang "melarikan diri dengan kerusi DAP".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS