"Kita tutup sahajalah Proton kalau itu yang orang mahu," itulah intipati komen Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berhubung beberapa gesaan supaya pembuat kereta nasional itu ditutup.

Gesaan itu diutarakan kerana Proton dikatakan tidak berdaya saing serta dakwaan bahawa dasar kereta nasional menyebabkan rakyat Malaysia menanggung beban selain menyumbang kepada harga kereta yang tinggi.

Para wartawan yang membuat liputan sidang akhbar selepas satu majlis yang dihadiri bekas Perdana Menteri dan penasihat Proton itu di Putrajaya hari ini, tidak dapat menyimpulkan apa sebenarnya maksud kata-kata beliau mencadangkan supaya pengurusan Proton patut meneliti semua cadangan berhubung perkara itu.

"Dan kalau ada yang berpendapat sebagai satu cara untuk mengatasi masalah yang banyak kita dengar hari ini, termasuk masalah AP (permit import) dan sebagainya, satu caranya untuk mengatasi masalah ini ialah kita tak ada perusahaan automobil di Malaysia, kita tutup sahajalah," katanya.

Apabila dinyatakan yang komennya itu berbunyi seperti beliau merajuk, Dr Mahathir berkata: "Saya tak merajuk. Nak merajuk apa, (Proton) bukan saya punya".

Respons SMS

Semasa seorang wartawan menarik perhatian beliau bahawa Proton lahir daripada idea beliau, Tun Dr Mahathir berkata: "Idea saya tidak bermakna kerajaan mesti mendukung gagasan saya".

Menurut laporan Bernama , respons SMS yang disiarkan oleh sebuah akhbar hari ini memberikan beberapa komen pedas mengenai keadaan Proton sekarang, banyak yang hingga mencadangkan supaya ia ditutup.

Mereka memberikan respons terhadap komen pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional Datuk Shahrir Abdul Samad pada hari Sabtu, yang antara lain berkata, Proton tidak sepatutnya diperlukan untuk memenuhi peraturan 90 peratus kandungan tempatan jika ia menjejaskan daya saingnya dan perlu menaikkan harga berbanding kenderaan asing.

Beliau juga dipetik sebagai berkata, jika kualiti produk Proton masih tidak mencapai standard yang ditetapkan dan tidak boleh dieksport, maka ia patut ditutup.

Merujuk kepada wawancara beliau dalam program The Exchange TV3, Dr Mahathir berkata, sebab beliau menerima jemputan itu ialah untuk memperbetulkan pelbagai kenyataan yang memberi gambaran buruk terhadap dirinya, termasuk mengenai beliau yang telah memberikan kelulusan bagi Naza Ria diberikan status kereta nasional.

Surat pada Rafidah

"Saya rasa saya perlu perbetulkan (beberapa perkara). Sekarang saya dah agak jemu untuk buat pembetulan. Nanti orang akan cakap lain, maka (saya perlu) memperbetulkannya lagi. Tak larat nak korek (correct) dah," mainan kata-katanya itu membuatkan semua yang hadir ketawa.

Ditanya sama ada beliau akan terus menjadi penasihat Proton, jawapannya: "Saya dilantik (memegang jawatan itu), jadi saya masih memberi khidmat sebagai penasihat".

Tun Dr Mahathir juga ditanya mengenai sepucuk surat bertarikh 14 Julai 2005 yang ditujukan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz yang kandungannya menyatakan pandangan beliau mengenai pelbagai aspek isu AP.

Dr Mahathir, berkata beliau berpendapat dengan tersiarnya surat itu di dalam media, akan membantu menjelaskan beberapa perkara.

"Saya hanya mendedahkan surat saya, bukan surat orang lain. Jadi sama ada orang mahu percaya apa yang saya katakan di dalam surat itu, terpulang kepada mereka. Saya telah memberikan penjelasan yang sebaik mungkin," katanya.