Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis sahkan Rizalman negatif dadah
Diterbitkan:  Apr 7, 2018 3:13 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Polis mengesahkan keputusan ujian air kencing Ketua Umno Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar adalah negatif dadah.

Walaupun ujian saringan di malam penahanan menunjukkan beliau positif menggunakan dadah, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim hari ini berkata ujian yang dibuat Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan sebaliknya.

"Memandangkan kes ini menarik perhatian umum dan melibatkan orang kenamaan, polis telah meminta HKL menyegerakan ujian air kencing Rizalman.

"Setelah HKL membuat ujian, keputusan yang dikeluarkan adalah negatif," kata Mazlan kepada pemberita menerusi WhatsApp.

Beliau juga mengesahkan kes itu telah dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri (PPN) dan PPN mengarahkan agar tiada tindakan lanjut diambil terhadap Rizalman.

Sementara itu, Mazlan (gambar) menyangkal dakwaan Rizalman bahawa dirinya diperangkap dan menegaskan polis telah menjalankan siasatan secara adil dan saksama.

"Semua dilakukan mengikut prosedur operasi piawai (SOP)," katanya lagi.

Beliau berkata surat pemakluman kes telah diserahkan kepada Rizalman.

Rizalman ditahan bersama-sama sembilan individu dalam serbuan bersama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah pusat karaoke di Kuala Lumpur pada tengah malam 6 April lalu. Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemuanya positif syabu.

Dua hari kemudian, Rizalman dalam sidang media menafikan beliau ada mengambil dadah dan ujian air kencing itu dibuat untuk menjeaskan imejnya serta peluang untuk bertanding di kerusi parlimen Bandar Tun Razak pada PRU ke-14.

Antara perkara yang dibangkitkannya adalah dakwaan serbuan hanya dibuat di biliknya dan penglibatan SPRM dalam ujian air kencing yang dibuat di balai polis.

Lihat Komen
ADS