Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
See-To: Pemotongan 20% perbelanjaan kesihatan tak benar

ULASAN | Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam mempromosikan Kad Peduli Sihat mereka cuba mengelirukan masyarakat dengan mendakwa bajet kerajaan persekutuan bagi perbekalan ubatan telah dipotong dari RM1.59 bilion kepada RM1.292 bilion pada 2017 dan kepada RM1.277 bilion pada 2018, atau pemotongan sebanyak 20 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Manakala pemotongan 20 peratus itu adalah benar, HARAPAN tidak memberitahu alasan mengapa pemotongan itu dilakukan.

Sebelum saya jelaskan, adalah penting untuk mengetahui bahawa bajet keseluruhan bagi Kementerian Kesihatan meningkat secara konsisten setiap tahun.

Bagi 2018, penjagaan kesihatan diberikan bajet RM26.58 bilion iaitu 9.5 peratus atau peningkatan RM1.7 bilion berbanding apa yang diperuntukkan pada bajet 2017.

Kebanyakan peningkatan ini adalah bagi membina lebih banyak klinik, hospital dan membeli peralatan perubatan baharu, berbanding berbelanja besar kepada perbekalan ubat yang tidak berkesan.

Penggunaan ubat generik

Sebagai perbandingan, pada tahun terakhir Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri pada 2003, bajet penjagaan kesihatan hanyalah RM7.6 bilion.

Kementerian Kesihatan turut membuat kenyataan pada awal 2015 bahawa mereka sedang merancang untuk bertukar kepada ubat generik dalam mengurangkan kos.

Ubat generik ialah ubat yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat lain setelah tempoh paten yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang mengeluarkan ubat original telah luput.

Kandungan ubat generik adalah sama dengan ubat original. Bagaimanapun ia tidak boleh diberi nama yang sama, kerana setiap nama adalah unik dan telah dipatenkan.

Tiada perbezaan terhadap ubat generik, kerana ia mempunyai dos yang sama, untuk penggunaan yang sama, kesan yang sama, pentadbiran ubat yang sama, risiko, keselamatan dan keberkesanan ubat asli. Tiada perbezaan.

Penggunaan ubat generik di seluruh dunia telah meningkat sejak beberapa tahun ini. Pemangkin paling utama dalam melonjakkan pertumbuhannya adalah syarikat farmaseutikal yang berbelanja besar terhadap ubat generik.

Perbelanjaan khidmat penjagaan kesihatan yang berterusan meningkat turut mendesak kerajaan untuk mencari alternatif bagi mengawal perbelanjaan ini. Ia juga pemangkin kepada permintaan yang lebih tinggi terhadap ubat generik berbanding ubat asli.

Malah, bertukar kepada ubat generik mewujudkan peluang kepada pengeluar tempatan untuk membangunkan perniagaan mereka berbanding mengimport ubat dari luar negara.

Tempat bagi graduan

Pada masa ini, 30 peratus ubat generik diperolehi dari pengeluar tempatan manakala hampir kesemua ubat berjenama dihasilkan di luar negara.

Satu lagi faktor yang memandu kepada pertumbuhan ini adalah tempoh luput kepada hak milik paten disingkatkan, bermakna ubat generik dapat dihasilkan lebih awal selepas ubat asli diperkenalkan.

Selain menggantikan ubat asli yang lebih mahal dengan ubat generik yang menghasilkan kesan yang sama, Kementerian Kesihatan turut berusaha untuk mengurangkan pemberian ubat terlalu banyak kepada pesakit yang akhirnya didapati dibuang kerana pesakit tidak mengambil ubat berkenaan. Untuk itu, ubat diberikan pada kadar dos lebih tepat.

Lantaran penjimatan hasil dari perbekalan ubat yang tidak efisien, kerajaan kini boleh menggunakan dana terbabit untuk membeli peralatan yang lebih baik dan membina lebih banyak klinik serta hospital bagi menawarkan khidmat kesihatan kepada rakyat selain menyediakan tempat untuk graduan perubatan menjalankan khidmat perlatihan.

Tidak seperti klinik swasta di mana HARAPAN mahu mempromosikan Kad Peduli Sihat mereka, kerajaan persekutuan turut mengambil kira keperluan untuk menyediakan tempat bagi graduan perubatan serta menyediakan khidmat kesihatan percuma bagi rakyat Malaysia, di mana fokus adalah terhadap klinik milik kerajaan dan hospital berbanding kepada klinik swasta berorientasikan keuntungan yang dipilih HARAPAN.

Selama bertahun, pembangkang mahukan jabatan kerajaan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan.

Bagaimanapun apabila Kementerian Kesihatan melakukannya, daripada memberi pujian kepada kementerian itu, ia diputarbelit oleh pembangkang untuk menghasut.

Ia sama seperti bagaimana HARAPAN memperdaya rakyat kononnya bajet mereka bagi universiti awam telah dipotong walhal ia sudah disebut secara terperinci dan dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pengajian Tinggi 2015 -2025 (Higher Education Blueprint).

Ini bagi menggesa universiti awam untuk menjadi lebih berkesan dan menjalankan usahama dengan sektor swasta dalam memastikan penyelidikan mereka lebih praktikal dan lebih berdaya maju untuk dikomersilkan dan memastikan kursus berkaitan yang ditawarkan adalah dalam bidang di mana graduan akan mudah memperoleh pekerjaan dengan sektor swasta yang menjalin kerjasama dengan mereka.

Langkah ini sudahpun menunjukkan hasil yang baik. Kedudukan universiti awam kini melonjak di kalangan universiti dunia pada beberapa tahun ini, dan keadaan ini berbeza ketika di bawah pentadbiran Mahathir di mana kedudukan penarafan universiti ini berterusan menjunam setiap tahun.


Eric See-To merupakan timbalan pengarah komunikasi strategik BN.

Tulisan ini merupakan padangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS