Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafidah dakwa Najib swastakan tanah tentera
Diterbitkan:  Apr 8, 2018 9:59 PM
Dikemaskini: Apr 9, 2018 11:00 AM

Bekas menteri kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz dalam surat terbuka beliau malam ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku menteri pertahanan mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara kepada sebuah syarikat milik tiga individu.

Rafidah berkata cadangan itu dibuat kepada kerajaan pada 2007 dan telahpun diluluskan serta dilaksanakan.

"Saya agak ragu dan telah bertanya kepada Datuk Seri, dalam mesyuarat tersebut mengapa diswastakan kepada syarikat yang tidak langsung diketahui rekodnya.

"Mengapa tidak diswastakan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang boleh bergabung dengan syarikat-syarikat besar, yang ada rekod prestasi yang terbukti.

"Jawapan Datuk Seri kepada saya, dan disambut oleh PM Abdullah ialah, kita akan bawa masuk LTAT kemudian. Tiada seorang pun menteri lain menyoal Datuk Seri," kata beliau.

Pada ketika itu, perdana menteri ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Rafidah menjawat portfolio menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Rafidah berkata penswastaan tanah tersebut berdasarkan pajakan tanah selama 40 tahun dan diberikan tanpa tender terbuka.

Beliau mendakwa apabila harga tanah itu dibuat penilaian semula, syarikat terbabit mendapat untung berkali ganda.

Rafidah juga meminta Najib mendedahkan nama syarikat itu dan tiga individu pemiliknya serta butiran lanjut penswastaan tanah berkenaan.

"Rakyat perlu tahu semua fakta-fakta. Silalah dedahkan untuk pengetahuan awam," kata Rafidah dalam surat terbuka itu.

Rafidah turut meminta penjelasan Najib berhubung beberapa projek utama kerajaan jika ia melibatkan tanah tentera yang diswastakan itu.

Antara projek yang disenaraikan dalam surat Rafidah itu ialah Bandar Malaysia yang merupakan bekas lapangan terbang TUDM Sungai Besi, perpindahan kem Majidee, Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), projek Keretapi Laju KL-Singapura, projek komersil pertanian dan penjualan pengkalan udara TUDM Butterwoth.

Surat terbuka Rafidah Aziz dapat dicapai pada pautan di sini.


Nota editor: Malaysiakini sebelum ini melaporkan Rafidah menyebut terdapat mesyuarat kabinet dan syor berkaitan projek penswastaan itu pada penghujung tahun 2008. Beliau kemudian menjelaskan tahun sebenar adalah 2007. Maklumat dalam laporan di atas telah diperbetulkan.

Lihat Komen
ADS