Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Beberapa perkembangan penting berlaku dalam masa beberapa hari lalu yang berkemungkinan mengubah sejarah negara kita.

Pada 5 April Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah “membubarkan” Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pada 6 April parti-parti Pakatan Harapan (HARAPAN) iaitu PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU mengumumkan secara rasmi penggunaan simbol PKR sebagai lambang tunggal untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pada hari sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran prlimen berkuat kuasa 7 April.

Dengan itu kerajaan BN hilang mandat dan wujud sebagai kerajaan sementara atau caretaker government sahaja.

Pada 8 April, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat kenyataan peribadi yang sekali gus mencampakkan beliau ke dalam ke gelanggang politik.

Menurut laporan yang tular di Internet, beliau telah membuat “kenyataan politik” yang antara lain ditujukan kepada Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perintah sementara saja

Keputusan Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim dicabar oleh kepemimpinan BERSATU dan peguam-peguam mereka. Mereka mengambil pendirian bahawa arahan ROS tidak jelas dan tidak sah.

Justeru BERSATU akan terus berfungsi seperti biasa sambil menunggu hasil rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zabid Hamidi, dan keputusan semakan perlembagaan (Constitutional Review) yang mereka failkan di mahkamah.

Perintah ROS berbunyi: “Dengan ini diperintahkan bagi sementara supaya pendaftaran pertubuhan yang namanya tersebut di atas dibubarkan mulai dari tarikh perintah ini."

Ikut kefahaman BERSATU dan panel peguamnya, perintah itu adalah sementara. Dalam bahasa Inggeris “temporary order”. Perintah sementara itu pula merujuk kepada pendaftaran BERSATU.

Mengikut pengertian umum atau semantik, pendaftaran sesebuah pertubuhan hanya boleh digantung atau dibatalkan. Tetapi dalam surat ROS itu PPBM “dibubarkan”.

Dalam perhimpunan raksasa HARAPAN di Pasir Gudang, Johor pada Jumaat malam, Dr Mahathir mengumunkan logo PKR sebagai lambang tunggal gabungan itu untuk PRU ke-14 ini.

Pengorbanan besar dan langkah berani oleh parti-parti HARAPAN menyetujui satu lambang bersama adalah bukti konkrit iltizam mereka menyelamatkan negara dan rakyat jelata daripada kerajaan kleptokrasi Umno/BN.

Jangka akan disulitkan

Yang menakjubkan ialah parti-parti HARAPAN secara pantas dan satu hati mengetepikan egoisme dan keindividuan dengan menawarkan hanya satu lambang kepada pengundi.

Pastinya satu badai emosi yang hebat telah berlaku kepada sebuah parti lama seperti DAP semasa mengambil keputusan tidak menggunakan simbol roket di semenanjung. Lambang itu telah mereka gunakan sejak PRU 1969.

Namun begitu kepimpinan HARAPAN tidak menolak kemungkinan pelbagai alasan dan sekatan akan dibuat oleh tali barut, aparatus dan apparatchik kerajaan bagi menyukarkan penggunaan simbol tunggal itu.

Mereka tahu logo tunggal akan memudahkan pengundi membuat pilihan dan dengan itu memperkukuhkan peluang HARAPAN meraih sokongan rakyat jelata.

Tindakan TMJ meredah masuk ke arena politik telah menjadi tular dan mencetuskan reaksi massa di kalangan penggiat media sosial.

Saya rasa saya tidak perlu mengulas lanjut hal ini selain mengatakan bahawa garis yang memisahkan raja dan rakyat jelata sebenarnya amat tipis kerana raja juga adalah manusia.

Mitos raja dari kayangan tidak lagi dihayati oleh generasi muda khasnya, dan rakyat jelata amnya. Bagi mereka cerita Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun adalah cerita penglipur lara semata-mata.

Sesiapa saja - sama ada anak raja atau si papa - kalau dia meredah masuk ke gelanggang politik maka dia mestilah bersedia ditendang terajang.

Dalam dunia digital, sukar bagi sesiapa pun – termasuk raja dalam istana – berlindung di sebalik tembok undang-undang dan adat resam jika mereka memilih untuk terjun ke gelanggang politik.

Rakyat jelata tidak sebodoh yang dianggap para pembesar Umno/BN dan kesetiaan mereka kepada raja bukan emosi menggila tetapi berlandaskan perlembagaan negara.

Wallahuaklam.


DATUK A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

Rencana ini dimuat naik di blog beliau dengan tajuk Peristiwa Yang Akan Mengubah Sejarah. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS