DBKL: Persatuan penjaja dan Umno agih lot pasar Ramadhan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan pihaknya mengamalkan pilih kasih dalam pembahagian lot penjaja dan peniaga di ibunegara sepanjang bulan Ramadhan ini..
Sebaliknya, jurucakapnya berkata, DBKL tidak terlibat dalam pembahagian lot peniagaan berkenaan kerana urusannya diserahkan kepada persatuan-persatuan penjaja dan peniaga di Kuala Lumpur dan beberapa cawangan Umno.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan pihaknya mengamalkan pilih kasih dalam pembahagian lot penjaja dan peniaga di ibunegara sepanjang bulan Ramadhan ini..
Sebaliknya, jurucakapnya berkata, DBKL tidak terlibat dalam pembahagian lot peniagaan berkenaan kerana urusannya diserahkan kepada persatuan-persatuan penjaja dan peniaga di Kuala Lumpur dan beberapa cawangan Umno.
Beliau menjelaskan demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang peniaga kecil dari Jalan Haji Hussein, Chow Kit yang DBKL membahagikan lesen kepada orang yang sama setiap tahun sewaktu bulan Ramadhan..
Peniagan berkenaan turut mendakwa DBKL telah menandakan tapak niaga tanpa mengambilkira kepentingan pekedai-pekedai sedia ada.
Jurucakap DBKL itu menjelaskan, pihaknya memberi kebenaran kepada persatuan-persatuan terbabit mengenalpasti tapak-tapak perniagaan sementara dan mengemukakan permohonan kepada DBKL untuk diluluskan.
Katanya, permohonan yang diterima akan diproses dan ia mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk diluluskan.
"Permohonan yang diterima dari persatuan dan individu sangat banyak tahun ini, tetapi lot yang ada amat terhad. Ini menyebabkan berlaku perebutan tapak niaga di tempat tertentu," ujarnya.
Berniaga tanpa permit
Menurut jurucakap itu lagi, DBKL hanya memantau dari aspek penguatkuasan undang-undang seperti permit perniagaan dan kebersihan sekitar tapak perniagaan.
Beliau juga tidak menafikan kemungkinan ada sebilangan peniaga yang tidak mendapat lesen, tetapi turut berniaga di kawasan tertentu seperti di Chow Kit dan beberapa kawasan lain.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja Kecil Bumiputera Wilayah Persekutuan (PPKBWP)
Baharim Razak berkata, pembahagian lot niaga di Chow Kit dibuat bersama oleh persatuannya dan Umno cawangan Jalan Haji Hussein.
"DBKL membenarkan kami membina seberapa banyak gerai bagi membolehkan peniaga bumiputera berniaga," katanya.
Sehubungan dengan itu, katanya peniaga kekal perlu memberi kerjasama kepada peniaga sementara kerana mereka berniaga hanya sebulan dalam setahun.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan (PPKWP), Rosli Sulaiman juga mengesahkan bukan semua tapak perniagaan pasar Ramadhan diuruskan oleh persatuan kerana DBKL turut meluluskan lesen melalui Umno.
Katanya, PPKKWP cuma mendapat sebilangan kecil tapak niaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Desa Pandan dan kawasan Masjid India.
"Kawasan perniagaan di Jalan Haji Hussein, Chow Kit diberikan kepada Umno cawangan tersebut dan tidak kena mengena dengan persatuan," katanya.

