Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bekas ketua JSJ KL saman Najib berhubung sumpah jawatan

Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim memfailkan saman ke atas perdana menteri kerajaan sementara, Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan mengubah lafaz sumpah jawatannya di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2009.

Mat Zain memohon perintah mahkamah bahawa tindakan Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan perlu diisytiharkan batal dan tidak sah.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mac lalu menyatakan bahawa sumpah yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan telah dilafaz secara salah oleh Najib pada 3 April 2009.

Menurut Mat Zain, sumpah itu kemudiannya dilafazkan dengan betul oleh Najib pada tahun 2013, selepas kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13 - yang bermaksud bahawa kata-kata itu masih wujud dalam lafaz asal seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan.

Mat Zain, yang adalah pegawai penyiasat dalam kejadian 'mata hitam' Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga membekalkan transkrip upacara mengambil sumpah jawatan oleh Najib.

Sumpah yang dibuat pada 2009 itu, menurut Mat Zain, berbunyi:

Saya Muhammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak setelah dilantik memegang jawatan Perdana Menteri sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan jujur dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan kepercayaan dan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara dan akan melindungi dan mempertahankan perlembagaan.

Sumpah seperti yang terkandung dalam jadual keenam Perlembagaan Persekutuan pula berbunyi:

Saya Muhammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak setelah dilantik memegang jawatan Perdana Menteri sesungguhnya bersumpah bahawa saya dengan jujur akan menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara dan akan melindungi dan mempertahankan perlembagaan.

Menurut Mat Zain, perkataan "dengan jujur" hanya diletakkan selepas perkataan "menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu" dan bukannya sebelum ayat berkenaan. Beliau juga mendakwa bahawa Najib menambah perkataan "kepercayaan dan" selepas perkataan "taat setia".

Beliau mengambil contoh bagaimana bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, yang terpaksa mengambil semula lazaf sumpah jawatannya apabila didapati bahawa beliau melakukan kesalahan.

Mat Zain berkata, beliau pernah mendedahkan percanggahan itu dalam surat terbuka kepada Peguam Cara Negara, Tan Sri Idrus Harun, yang kini adalah hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau juga membuat laporan polis berhubung perkara itu, dengan salinan dihantar ke Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS