Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah mahu kertas kabinet didedah
Diterbitkan:  Apr 9, 2018 6:14 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz mencabar pihak yang menolak dakwaan beliau bahawa 40,000 hektar tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberikan kepada sebuah syarikat swasta milik tiga individu itu untuk mendedahkan kertas mesyuarat kabinet berkenaan perkara tersebut.

Beliau juga memetik laporan berita dua tahun lalu untuk menolak kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai isu ini.

"Kamu boleh tanya para menteri kabinet. Ramai yang sudah lupa, tetapi mendedahkan kertas kabinet akan menjelaskan isu ini dan membentangkan faktanya.

"Tiada yang boleh menafikannya. Ia berisiko melanggar sumpah jawatan mereka yang menyebut nama Allah SWT itu.

"Ia tidak baik untuk mereka," beliau memberitahu Malaysiakini.

Dalam surat terbuka Rafidah kepada Perdana Menteri (sementara) Datuk Seri Najib Razak semalam, beliau mendakwa kesemua tanah milik Kementerian Pertahanan (Mindef) diswastakan dengan pajakan 40 tahun kepada sebuah firma milik tiga individu.

Beliau turut menyenaraikan beberapa projek berkaitan dengan tanah tentera yang diswastakan itu.

Antara projek yang disenaraikan dalam surat Rafidah itu ialah Bandar Malaysia yang merupakan bekas lapangan terbang TUDM Sungai Besi, perpindahan kem Majidee, Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), projek Keretapi Laju KL-Singapura, projek komersil pertanian dan penjualan pengkalan udara TUDM Butterwoth.

Manakala itu, Rafidah memetik laporan Borneo Post pada Jun 2016 yang menerbitkan kenyataan Hishammuddin.

"Para pegawai kementerian telah diminta untuk mengenal pasti tanah kosong dan tidak digunakan kementerian untuk dipajakkan kepada pihak yang berminat bagi penanaman tanaman seperti beras, jagung, dan lain-lain."

Awal hari ini, Hishammuddin menafikan mengumumkan kementerian itu menjalankan projek pertanian di tanah 'terbiar'.

"Saya hanya memikirkan mengenai isu sekuriti makanan dengan Menteri Pertanian, dan itu adalah pada dua, tiga tahun yang lalu dan tidak ada apa-apa yang berlaku sejak (perbincangan) itu," kata beliau.

Dalam surat terbukanya, Rafidah berkata projek penswastaan itu dibawa ke mesyuarat kabinet pada akhir tahun 2007, ketika Najib menjawat menteri pertahanan dalam pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Rafidah, yang ketika itu menteri perdagangan dan industri antarabangsa, mendakwa beliau telah menyoal Najib mengenai pemilihan syarikat itu dan mengapa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak dipilih.

Menurut Rafidah, najib dan Abdullah berkata pada waktu itu LTAT akan dilibatkan dengan projek itu kemudiannya.


Nota editor: Malaysiakini sebelum ini melaporkan Rafidah menyebut terdapat mesyuarat kabinet berkaitan projek penswastaan itu pada penghujung tahun 2008. Beliau kemudian menjelaskan tahun sebenar adalah 2007. Maklumat dalam laporan di atas telah diperbetulkan.

Lihat Komen
ADS