Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kecoh hari pengundian jatuh pada hari bekerja
Diterbitkan:  Apr 10, 2018 1:53 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa hari pengundian ditetapkan pada Rabu, 9 Mei ini menimbulkan kekecohan dengan rasa tidak puas hati di kalangan pelbagai pihak.

Reaksi segera mendapati bukan sahaja ahli politik pembangkang, malah pemimpin masyarakat sivil dan warga maya juga mempersoalkan rasional mengadakan pilihan raya pada hari Rabu.

Bagi bekas Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, hari pengundian 9 Mei jatuh pada hari berkerja dan menimbulkan masalah kepada pengundi yang ingin mengambil hari cuti untuk perjalanan pulang ke kampung.

“Dalam memilih 9 Mei sebagai hari pengundian, niat SPR ini hanya boleh dilihat sebagai satu lagi cubaan untuk lucutkan hak undi pengundi dan mengurangkan peluang untuk para pengundi dari luar negeri,” katanya dalam satu kenyataan media.

Maria juga melahirkan rasa hampanya dengan tempoh singkat berkempen yang telah diumumkan oleh SPR iaitu sebanyak 11 hari.

“Tempoh berkempen semasa PRU13 ialah 15 hari dan hari pengundian pula jatuh pada hujung minggu. Kali ini, hari pengundian 9 Mei jatuh pada hari berkerja,” katanya.

Bagi, penganalisis politik, Wan Saiful Wan Jan yang kini bersama BERSATU, pemilihan 9 Mei sebagai hari mengundi adalah satu lagi helah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Rzak dan BN untuk mencuri PRU14.

“Ia jatuh pada hari Rabu, iaitu hari bekerja. Sudah pasti ramai yang tidak dapat mengundi, terutama mereka yang menetap atau bekerja jauh daripada tempat mengundi.

“Umno mahu peratusan keluar mengundi rendah kerana mereka tahu bilangan rakyat yang tidak menyokong mereka adalah ramai. Jika peratusan keluar mengundi adalah tinggi, kemungkinan untuk Najib berpindah keluar dari Putrajaya juga adalah tinggi.

“Sekarang adalah amat penting untuk Pakatan Harapan memastikan peratusan keluar mengundi adalah tinggi. Jangan biarkan Najib mencuri PRU14, Katanya.

Naib Ketua Pemuda AMANAH, Shazni Munir Mohd Ithnin pula menyifatkan pengumuman SPR bahawa tarikh buang undi ditetapkan pada hari bekerja sebagai tindakan paling tidak bertanggungjawab.

“SPR sepatutnya menetapkan tarikh yang lebih sesuai agar peratusan keluar mengundi meningkat berbanding Pilihanraya Umum Ke-13.

“Sebagai agensi yang sepatutnya bebas, SPR sewajarnya bertindak lebih adil kepada semua pengundi. Bukan semua pengundi membuang undi di lokasi yang berdekatan.

“Bersediakah Pengerusi SPR meletakkan jawatan sekiranya peratusan keluar mengundi turun mendadak disebabkan keputusan ini?” soalnya.

 

Lihat Komen
ADS