BERITA Malaysiakini

PAS: Hak demokrasi rakyat dirompak SPR

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRU14 | PAS mengecam keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memilih 9 Mei untuk melaksanakan pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata langkah SPR itu dianggap sebagai merompak hak rakyat negara ini untuk memilih kerajaan.

Kata Tuan Ibrahim pemilihan tarikh itu juga membayangkan BN sedang menghidu 'tsunami rakyat' yang kini beralun kencang mahu menolak parti berkenaan.

"Walaupun kerajaaan boleh mengisytihar cuti umum pada hari berkenaan, ia bukan tindakan yang sepatutnya diambil kerana 9 Mei itu ada di pertengahan hari minggu.

"Bebanan kepada semua rakyat akan terus ada," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu SPR memanggil sidang media di Putrajaya bagi mengumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi selepas parlimen dibubarkan pada 7 April lalu.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menyatakan hari penamaan calon ditetapkan pada Sabtu, 28 April manakala pembuangan undi pada Rabu, 9 Mei.

Kebiasaannya hari mengundi ditetapkan pada Sabtu atau Ahad bagi memudahkan sebahagian besar rakyat negara ini menyertai PRU.

Bagaimanapun sidang media SPR itu berakhir tanpa Mohd Hashim meluangkan masa untuk menjawab soalan-soalan wartawan.

Adakah majikan mengizinkan

Kata Tuan Ibrahim langkah SPR itu bertentangan dengan hasrat badan terbabit mahu menggalakkan orang ramai keluar mengundi beramai-ramai.

"Apa gunanya SPR membuat gesaan agar rakyat mendaftar untuk mengundi dan menyasarkan 85 peratus pemilih keluar mengundi pada PRU ke-14 apabila melaksanakan engundian di hari bekerja?" katanya.

Menurut beliau PAS akan mengadakan mesyuarat segera esok bagi membincangkan langkah selanjutnya.

"Namun PAS tetap mengecam tindakan SPR ini yang merompak demokrasi," katanya.

Tuan Ibrahim berkata tidak dapat dipastikan sama ada kakitangan swasta - terutama yang berada jauh dari tempat mengundi - sanggup mengambil cuti sehari semata-mata untuk kembali mengundi.

Katanya mereka juga tidak dapat dipastikan sanggup mengorbankan cuti selama tiga hari sebagai tambahan cuti hujung minggu untuk memudahkan perjalanan jarak jauh.

"Apakah majikan swasta akan mengizinkannya, terutamanya bagi semua perantau yang bekerja di Selangor dan Kuala Lumpur atau luar negara?" katanya.

PAS kata Tuan Ibrahim tidak nampak SPR ada masalah untuk mengadakan pembuangan undi pada Sabtu 5 Mei sekali gus memudahkan semua pengundi.