Paling Popular
Terkini

ULASAN l Walaupun menang lapan kali berturut-turut kerusi parlimen Kepong, kini sudah tiba masanya untuk kita mengucapkan "selamat tinggal" kepada (bekas) Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw.

Ini kerana orang kuat DAP yang kini berusia sekitar 75 tahun digugurkan daripada bertanding untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menang di Kepong sejak 1982, tidak dapat disangkal, Dr Tan menjadi kesayangan rakyat di kawasan parlimennya kerana sikap dan cara pembawaan dirinya yang amat disenangi ramai.

Penulis sempat menemu bual beliau sewaktu tempoh berkempen PRU13. Ketika itu beliau baru selesai berceramah di Brickfields. Ketika itu jarum jam sudah menunjukkan pukul 11.45 malam.

Memandangkan tiada tempat duduk yang sesuai kerana sebaik sahaja selesai majlis ceramah, pekerja sudah mengemaskan dewan, beliau dengan selamba berkata "di sini pun boleh'" sambil memandang bahu jalan betul-betul di sebelah tempat kami berdiri.

Maka selama hampir satu jam, kami duduk di atas batu yang tidak seberapa lebarnya tanpa menghiraukan orang ramai yang berpusu-pusu keluar meninggalkan dewan.

Sesekali juga kami disuluh lampu besar kereta yang keluar masuk dan di tengah-tengah kerancakan berbual, perbualan terhenti sejenak apabila ada yang tampil menyapa beliau dan berjabat tangan.

"Sempoi betul dia ini," getus hati penulis.

Cara unik

Macam-macam perkara kami bincangkan. Paling penulis suka ialah jawapan Dr Tan apabila diajukan soalan bagaimana beliau berjaya memenangi hati pengundi kawasan Parlimen Kepong.

"Saya taklah bimbang sangat (tentang pilihan raya). Fokus saya ialah meneruskan apa yang telah saya buat sejak 1982 iaitu berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Menurut Dr Tan, amat penting untuk seseorang ahli parlimen sentiasa dirasai kehadirannya oleh masyarakat dan beliau mempunyai cara yang unik itu.

"Bagaimana mereka tahu saya ada di sana? Di belakang kereta saya (Toyota Hilux) ada pembesar suara.

"Sekiranya saya pergi ke Kepong, semua orang akan tahu. Saya tak perlu pun bercakap apa-apa, mereka akan tahu bila melihat kereta saya,“ tambahnya.

Toyota Hilux Dr Tan bagaikan pejabat bergerak. Beliau turut memastikan semua jenis borang untuk membantu masyarakat ada di dalam keretanya itu.

Apabila melalui satu-satu tempat dan nampak ramai orang, beliau memberhentikan kenderaannya dan memanjat ke belakang kereta serta memasang pembesar suara untuk memberitahu beliau ada di tempat itu.

Ketika itu jika ada yang mempunyai masalah, Dr Tan akan cuba sebaik mungkin dan turut mengemukakan permasalahan itu kepada pihak berwajib.

Menurut Dr Tan beliau juga menggunakan teknologi untuk berkomunikasi dengan pengadu. Status aduan akan diberitahu menggunakan khidmat pesanan ringkas iaitu SMS.

Percanggahan pendapat

Apa yang beliau lakukan ini bukan dibuat lima tahun sekali tetapi secara konsisten dan dari semasa ke semasa sepanjang beliau memegang amanah sebagai wakil rakyat.

Maka tidak hairanlah pada PRU13, beliau menang besar dengan jumlah majoriti paling tinggi dalam sejarah dirinya iaitu lebih 40,000 undi!

Di dalam DAP, Dr Tan terkenal sebagai orang yang tidak takut bersuara terhadap barisan kepimpinan parti.

Sepanjang kekecohan melibatkan 1MDB, kita dapat lihat sendiri percanggahan pendapat antara beliau dengan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.

Tony Pua menghentam pihak 1MDB manakala Dr Tan mempunyai pandangan yang berbeza.

Keadaan ini amat menarik kerana kedua-dua mereka adalah orang kuat DAP dan kedua-duanya anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Situasi ini tidak menyenangkan parti.

Bukan setakat DAP tetapi mana-mana parti pun baik Umno atau PAS pasti tidak akan senang duduk bila ada dua anggotanya saling bercakaran, dengan liputan media yang meluas, betul tak?

Tak sehaluan

Pada Jun 2017, Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberitahu pihak media bahawa Dr Tan tidak dapat dihubungi parti sejak awal 2017.

Dr Tan dengan pantas membakul sampahkan tuduhan itu dengan berkata satu-satunya sebab beliau tidak dapat dihubungi adalah bila sedang bercakap di telefon.

Tambah beliau, setiap panggilan telefon akan dijawab sambil mempersoal sejauh mana pihak parti cuba menghubunginya dan adakah hanya dengan sekali panggilan telefon sahaja?

Tindakan DAP tidak menyenaraikan Dr Tan untuk mempertahankan kerusi parlimen Kepong pada PRU14 sudah dijangkakan.

Cuma penulis tidak tahu sebab sebenarnya. Banyak pihak melihat ia adalah akibat perbuatan Dr Tan yang tidak sehaluan dengan parti.

Daripada sudut pandangan yang lain, boleh jadi DAP mahu membariskan calon yang lebih muda kerana usia Dr Tan yang sudah menjangkau lebih 70 tahun.

Menurut laporan akhbar, tempat beliau diganti Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang berusia 45 tahun.

Apa pun, penulis ingin mengucapkan "selamat berehat" kepada Dr Tan dan terima kasih atas segala jasa serta khidmat bakti yang dicurahkan selama 36 tahun lepas.


ALI IMRAN MOHD NOORDIN adalah wartawan Bernama.

Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian Bernama dalam apa yang diperkatakan oleh penulis.

 

Lihat Komen
ADS