Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Misteri selubungi pemilihan pemerhati PRU14 'dari Cambridge'

Tidak banyak yang diketahui mengenai satu kumpulan penyelidikan yang menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dijemput untuk menjadi pemerhati bagi pilihan raya umum ke-14.

Semalam, Pengerusi SPR. Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan, selain pemerhati dari 14 negara, SPR juga telah menjemput Pusat Kajian Komanwel Malaysia (MCSC) yang berpangkalan di Cambridge sebagai pemerhati antarabangsa PRU14.

Pengumuman beliau tidak menguraikan peranan MCSC, dan wartawan tidak dapat bertanya lanjut kepada Mohd Hashim mengenainya kerana pengerusi SPR itu tidak menjawab soalan dari media selepas pengumumannya.

Semakan di talian oleh Malaysiakini menunjukkan terdapat sedikit sebutan mengenai MCSC kecuali fakta bahawa ia mungkin berpangkalan di Trinity College, Cambridge, dan diketuai oleh seorang yang bernama Dr Anil Seal, ahli sejarah dari India yang berpangkalan di Cambridge.

MCSC sendiri dilihat tidak mempunyai laman web. Satu buku panduan oleh SPR mengatakan ia merupakan pusat penyelidikan dan sokongan untuk badan-badan pilihan raya.

Beberapa laman web lain menyenaraikannya sebagai pembiaya untuk kerja akademik dalam sektor tenaga dan pertanian manakala satu lagi laman web mengatakan ia adalah salah satu daripada pembiaya skim Biasiswa Komanwel Malaysia.

Pusat ini juga dinyatakan sebagai mempunyai perkongsian dengan universiti awam tempatan - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tiada maklumat boleh didapati mengenai ahli-ahlinya, lembaga pengarah atau kerja pemantauan pilihan raya sebelum ini.

'Tidak pernah dengar'

Pengarah Eksekutif BERSIH, Yap Swee Seng memberitahu Malaysiakini bahawa dia tidak pernah mendengar tentang MCSC.

"Saya tidak tahu sama ada mereka sebenarnya wujud.

"Adalah sangat pelik untuk memasukkan kumpulan yang tidak seorang pun pernah dengar tentangnya sedangkan terdapat banyak kumpulan antarabangsa yang merupakan pemantau pilihan raya yang bereputasi di luar sana.

"Sebagai contoh, terdapat Carter Center (berpangkalan di AS) dan di Asia, kita ada Rangkaian Asia untuk Pilihan Raya Bebas (Anfrel) Mengapa kumpulan-kumpulan ini tidak dijemput?" tanya Yap.

Pakar program Anfrel, Kristina Uy Gadaingan, yang telah memantau pilihan raya di lapan negara, berkata beliau tidak pernah dengar tentang MCSC.

Kristina menambah Anfrel sebelum ini telah menghubungi SPR untuk meminta maklumat bagi akreditasi untuk memantau PRU14, tetapi tiada respons.

"Tidak ada prosedur akreditasi yang diterbitkan, jadi kami cuba menghubungi Hashim dan pesuruhjaya lain mengenai perkara ini.

"Tetapi sehingga hari ini kami tidak menerima respons dari mereka," katanya kepada ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain MCSC, Hashim mengumumkan bahawa pemerhati dari Indonesia, Thailand, Maldives, Timor-Leste, Azerbaijan, Kemboja dan Kyrgyzstan telah menerima jemputan untuk memantau PRU14.

Hashim berkata pemerhati antarabangsa akan dibenarkan memantau hari pencalonan, yang jatuh pada 28 April dan proses pengundian awal, di samping pusat pengundian dan penjumlahan.

[Baca berita penuh]

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS