Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

CALONKINI l Shukur Mohamad yang kini bersama BERSATU berasal dari keluarga yang mempunyai sejarah panjang bersama Umno.

Tetapi sejarah keluarga Shukur bukan sekadar sesuatu yang lazim dalam keluarga Umno.

Bapanya, Tan Sri Mohamad Aziz, adalah timbalan pengerusi tetap Umno dan speaker DUN Johor.

Selama 14 tahun hingga 2013, Mohamad juga adalah anggota parlimen Sri Gading yang sering membidas pembangkang di Dewan Rakyat. Sebelum itu, beliau adalah ADUN Parit Yaani selama tiga penggal dan juga anggota exco kerajaan negeri Johor.

Ibu tiri Shukur pula adalah ADUN Parit Parit Raja, Datin Azizah Zakaria, yang disebut-sebut akan dicabarnya pada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei ini.

Azizah dilaporkan jelas tidak senang dengan Shukur yang menyertai pemberontakan yang diketuai oleh Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga adalah perdana menteri dan presiden Umno selama 22 tahun sehingga 2003.

"Dia (ibu) tidak bercakap dengan saya sejak saya sertai BERSATU," katanya dengan kesal kerana ibu tirinya tidak dapat memisahkan kehidupan keluarga dengan politik.

Walau bagaimanapun, Shukur mengakui hubungannya tetap akrab rakan-rakan dalam Umno, termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Walaupun saya tidak lagi bersama Umno, tetapi hubungan saya dengan menteri besar masih baik. Tetapi kami tidak bercakap dengan politik apabila kita bertemu," katanya.

Malaysiakini difahamkan bahawa Shukur dijangkakan akan bertanding sama ada di kerusi ibu tirinya, di Parit Raja atau bekas kerusi bapanya, di parlimen Sri Gading, yang kini dipegang oleh timbalan menteri, Datuk Aziz Ab Kaprawi.

Pada pilihan raya umum ke-13, Azizah memenangi kerusi Parit Raja dengan dengan memperoleh 10,839 undi. Beliau mengalahkan calon PAS dengan majoriti 3,956 undi.

Sementara itu, Aziz Kaprawi menang dengan 22,453 undi di Sri Gading. Beliau pula menewaskan calon PKR dengan majoriti 5,761 undi.

Kerusi parlimen Sri Gading mempunyai dua kerusi DUN - Parit Raja dan Parit Yaani - dan terletak di kawasan pedalaman di Johor tengah.

Di sebalik pembabitan Shukur bersama BERSATU, hubungan dengan bapanya tidak seperti apa yang dialaminya bersama ibu tirinya. Ibunya meninggal dunia pada tahun 2012.

"Saya masih ingat hari saya menyertai BERSATU pada 26 Sept 2016, hanya dua minggu selepas parti itu didaftarkan. Pada hari itu, dia berada di Korea dengan Menteri Besar Johor.

"Dua jam selepas saya sertai BERSATU, saya telefon papa dan memberitahunya saya telah menyertai BERSATU. Dia cuma kata tahniah dan semoga berjaya dengan ideologi baru kamu," katanya.

Sebelum itu, Shukur menjadi ahli Umno selama 26 tahun.

Shukur berkata bapanya tidak pernah mempersoalkan mengapa beliau menyertai BERSATU, di sebalik dirinya yang adalah penyokong Umno yang setia.

"Dia tidak pernah marah saya, bahkan tidak pernah bertanya mengapa saya menyertai BERSATU, dia tahu pendirian saya dua atau tiga bulan sebelum saya menyertai BERSATU," katanya.

Sebaliknya, Shukur berkata bahawa dirinya yang selalu cuba memujuk bapanya untuk meninggalkan Umno dan menyertai BERSATU.

"Saya sangat rapat dengan papa, kadang-kadang semasa sarapan, saya akan bergurau dengannya dan berkata, 'Pa, tinggalkan Umno lah. Mari bersama saya, sertai Tun (Mahathir)' atau kadang kala semasa minum petang, saya beritahunya 'Saya ada borang (keahlian) BERSATU dalam kereta, adakah papa mahu mengisi?'

"Bapa hanya akan ketawa dan secara berseloroh beritahu saya pergi mati dengan parti saya ... atau dia akan ketawa dan berkata 'tak apa, saya sudah tua', selalu ada banyak alasan," katanya.

Shukur berkata, bapanya yang mencecah usia 78 tahun menegaskan bahawa beliau akan sentiasa bersama Umno.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS