Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selangor teliti kemungkinan umum cuti hari mengundi

Kerajaan Selangor akan meneliti hal ehwal undang-undang terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada akan memberikan cuti peristiwa pada hari mengundi 9 Mei depan atau tidak.

Menteri besar sementara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini berikutan tarikh pengundian berlangsung pada hari Rabu.

“Saya telah berbincang dengan kamar penasihat undang-undang negeri apakah langkah yang boleh diambil mengikut perlembagaan untuk membolehkan rakyat di negeri Selangor ini keluar untuk mengundi secara teratur dan dipermudahkan urusan itu.

“(Ini) kerana saya melihat tindakan SPR ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, perkara itu dibincangkan memandangkan reaksi awam dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkaitan perkara itu.

“Jadi perkara ini saya perlu teliti terlebih dahulu dari segi peruntukan perlembagaan sebelum kita membuat pengumuman seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di Shah Alam, hari ini.

SPR semalam mengumumkan bahawa hari pengundian bagi PRU14 ditetapkan 9 Mei manakala tarikh penamaan calon ialah 28 April.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga timbalan presiden PKR mengutuk keras tindakan SPR itu yang mengumumkan hari pengundian pada hari bekerja.

Azmin berkata tindakan SPR itu jelas membuktikan ia telah gagal bertindak secara adil dan bebas dalam melaksanakan proses pilihan raya di negara ini.

“Saya kesal dengan tindakan SPR melaksanakan pilihan raya pada hari bekerja, hari Rabu bersamaan 9 Mei 2018.

“Mengapa tarikh ini dipilih? Ini persoalan yang sedang ditanya dan dituntut oleh warga negara Malaysia.

“Jawapannya mudah ini membuktikan SPR gagal bertindak secara adil dan bebas dalam melaksanakan proses pilihan raya,” katanya.

500,000 bekerja di Singapura

Menurut Azmin tindakan SPR itu juga telah menafikan hak asasi seseorang warganegara untuk melaksanakan tanggungjawab demokratik untuk mengundi.

“SPR dilihat telah menafikan hak asasi seorang warganegara untuk melaksanakan tanggungjawab demokratik mereka untuk mengundi bagi menentukan masa depan negara.

“Hari ni ada 500,000 warga Malaysia bekerja di Singapura dan ini nafikan hak mereka untuk kembali ke tempat mengundi pada 9 Mei. SPR bertanggungjawab untuk menjawab,” katanya.

Bagaimanapun, Azmin berjanji akan menjamin hak rakyat Selangor untuk mengundi.

Katanya, sebagai kerajaan negeri yang berpegang prinsip perlembagaan saya akan lakukan dan bertindak untuk menjamin hak rakyat.

Lihat Komen
ADS