BERITA Malaysiakini

Adik Prebet Adam bela keluarga diraja Johor

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Selepas lebih 30 tahun akhirnya ahli keluarga Prebet Adam yang dikaitkan dengan insiden membabitkan keluarga diraja Johor membuat pengakuan hari ini.

Kata adik bekas anggota tentera itu Hawa Jaafar abangnya itu bukannya meninggal dunia akibat dibunuh almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail.

"Adam mengamuk di Jalan Chow Kit pada 1987 kerana masalah di tempat kerja, bukannya kerana adik kami dibunuh almarhum sultan," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Nama Prebet Adam menjadi perhatian selepas dia mencuri selaras mesingan M-16 dan motosikal dari kem tentera di Ipoh dan menuju ke Kuala Lumpur.

Dia berusia 23 tahun ketika itu.

Dalam kejadian 17 Okt 1987 itu, Adam yang memiliki kemahiran sebagai penembak tepat tiba di Kuala Lumpur ketika keadaan politik sedang panas.

Dia kemudian mengamuk dengan melepaskan tembakan menggunakan M-16 menyebabkan seorang maut dan beberapa yang lain cedera.

Pada kaca di bilik hotel tempat Adam menginap sementara, ditemui mesej yang di tulis pada cerminnya: Malam sial untuk Adam. Misi: membunuh atau dibunuh.

Dia menyerah diri kepada dua jeneral tentera yang berunding dengannya pada petang 19 Okt.

Belanja RM3,000 sekepala

Insiden itu mencetuskan cakap-cakap yang tidak dibuktikan bahawa Adam berang kerana adiknya mati di tangan Sultan Iskandar.

Semalam pewaris takhta Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim - juga cucuanda kepada Sultan Iskandar - memberikan hadiah kepada sejumlah pengunjung pasar raya AEON di Tebrau City.

Tunku Ismail membelanjakan sejumlah RM1 juta - atau RM3,000 untuk satu kepala - buat pengunjung bertuah pasar raya berkenaan.

Hari ini pasar raya berkenaan ditutup sehingga notis lain dikeluarkan.

Perkembangan yang menggembirakan banyak pihak itu juga berlaku beberapa hari selepas Tunku Ismail membuat kenyataan mengecam pemimpin tertentu yang disifatkannya sebagai "lidah bercabang".

Ia mendapat reaksi yang rencam daripada pelbagai pihak dan segera menghangatkan keadaan kerana ia berlaku selepas Parlimen Malaysia dibubarkan.

Hawa berkata semua adik-beradiknya masih hidup kecuali seorang yang meninggal dunia pada 1975. Itu pun - katanya yang ditemui media di George Town, Pulau Pinang - akibat kebakaran rumah.

"Saya minta maaf kepada keluarga Diraja Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerana terpalit dengan fitnah yang membabitkan abang saya, Prebet Adam," katanya dipetik BH Online.


Baca Dr M: Kritikan TMJ akan beri kesan...


Hawa juga berkata keluarganya terpaksa menahan malu dan marah selama lebih 30 tahun apabila tidak dapat menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat dan pihak berkuasa.

Menjelaskan kenyataan itu Hawa - anak kedua daripada sembilan beradik - berkata mereka sekeluarga tidak pernah mengenali seorang pun keluarga kerabat Diraja Johor.

Katanya lagi mereka sekeluarga juga difitnah menerima wang sogokan sebanyak RM10,000 sebulan bagi menafikan perkara terbabit.

"Lihatlah kediaman saya, kami cuma orang biasa.

"Kami tidak pernah terima satu sen pun duit daripada mana-mana pihak untuk menafikan hal ini," katanya.

Untuk rekod selepas ditahan Adam dibicarakan. Melalui prosedur mahamah antara 1988 hingga 1990 itu seorang pakar sakit jiwa mendapati Adam tidak waras dan hakim mengarahkan tertuduh dihantar ke hospital untuk dirawat.