Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Perdana menteri kerajaan sementara Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pertambahan kategori baru dan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam manifesto BN untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Akan tetapi, soal Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang selama ini memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat tidak dijadikan tumpuan dasar dalam manifesto tersebut.

Seperti yang diketahui, hasil kutipan GST pada tahun 2017 adalah sebanyak RM44 bilion.

Jumlah peruntukan untuk permohonan BR1M yang diluluskan bagi tahun 2018 adalah sebanyak RM6.12 bilion.

Daripada itu, badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) mendapati peruntukan untuk pemberian BR1M sahaja merupakan 13.9 peratus hasil kutipan GST!

Tiada masalah hasil kutipan GST itu dikembalikan kepada penggunaan rakyat dengan pemberian BR1M.

Akan tetapi, pemberian BR1M hanya melibatkan golongan tertentu sahaja. Mengapa kerajaan BN tidak mengurangkan kadar GST yang memanfaatkan rakyat terbanyak?

Berdasarkan hasil kutipan GST pada tahun 2017, sekiranya kadar GST diturunkan satu peratus, hasil kutipan GST akan mengurang sebanyak RM7.3 bilion.

Jumlah ini sebenarnya adalah lebih kurang sama dengan peruntukan BR1M bagi tahun 2018.

Tambahan lagi, hasrat kerajaan BN menambah kategori baru dan kadar BR1M, akan menyebabkan peruntukan menjadi lebih tinggi.

Mengikut pengiraan KPRU, jumlah peruntukan BR1M selepas penambahan kategori baru dan kadar BR1M akan mencecah RM11.7 bilion!

Jumlah ini bersamaan dengan pengurangan 1.5 peratus kadar GST!

Selain itu, timbalan perdana menteri kerajaan sementara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berkata harga minyak antarabangsa telah meningkat iaitu AS$69 setong berbanding dengan andaian AS$59 setong semasa pembentangan bajet sebelum ini.

Maksudnya, kerajaan persekutuan mendapatkan lebihan sumber pendapatan akibat peningkatan harga minyak mentah.

Memandangkan sumber pendapatan daripada petroleum meningkat, GST yang menyumbang kepada sumber pendapatan negara seharusnya dikurangkan bagi meringankan beban rakyat.

Oleh itu, kami berpendapat, agak pelik bila kerajaan BN cuba membantu rakyat menangani kos sara hidup dengan menambahkan kadar BR1M tetapi bukannya mengurangkan kadar GST yang memberi impak besar kepada kehidupan rakyat terbanyak sejak pelaksanaannya.

Tiada jaminan kekal 6%

Pada masa ini, semua barang dan perkhidmatan selain daripada barang dan perkhidmatan yang dikategori sebagai GST berkadar sifar dan berkecuali dikenakan GST.

Selain itu, GST yang merupakan cukai penggunaan berasaskan konsep nilai tambah di setiap peringkat penggunaan dalam rantai pembekalan daripada pengeluar hingga pengguna menyebabkan kenaikan harga barang.

Oleh itu, GST boleh dikatakan penyebab utama kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

Sekiranya kerajaan BN berniat membantu meringankan beban rakyat, mereka seharusnya mengurangkan kadar GST dan bukannya meningkatkan kadar BR1M!

Tambahan pula, pertambahan peruntukan untuk pemberian BR1M diikuti dengan pertambahan kategori baru dan kadar BR1M berkemungkinan akan menyebabkan peningkatan kadar GST selepas pilihan raya.

Hal ini kerana kerajaan BN tidak memberi jaminan bahawa kadar GST akan kekal pada 6 peratus dalam manifesto mereka.

Pada masa itu, bukan sahaja BR1M tidak dapat membantu meringankan beban rakyat tetapi membebankan lagi kehidupan rakyat!

Kerajaan BN, jika ikhlas menangani kos sara hidup rakyat, akan mengurangkan kadar GST dan bukannya menambahkan kadar BR1M supaya lebih ramai orang bermanfaat daripada inisiatif kerajaan.


OOI HENG ialah pengarah eksekutif Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS