Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kerusi menang semua nak, yang kalah semua tak ingin'

Penyandang kerusi Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendedahkan kemelut berpanjangan pembahagian kerusi Pakatan Harapan di Selangor berpunca daripada dua faktor.

“Kerusi ini sangkut (tertangguh) atas dua sebab. Nombor satu (kerusi) jamin menang, nombor dua jamin kalah.

“Yang jamin menang semua nak, yang jamin kalah semua tak nak.

“Sebab itu dia sangkut, jadi nak beri pun orang tolak dan mana yang nak ambil, semua orang tarik,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas faktor utama kepada HARAPAN mengambil masa yang lama bagi memutuskan agihan kerusi di negeri itu.

Tarikh PRU 14 telah ditetapkan pada 9 Mei depan, namun rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kalangan mereka difahamkan masih belum selesai.

Sementara itu, Khalid mengesahkan PKR ada menyatakan minat untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras namun ia akan ditentukan menerusi perbincangan dengan parti komponen HARAPAN.

"Setakat ini DUN Paya Jaras telah dipersetujui untuk diberi kepada AMANAH, tetapi ada permohonan daripada PKR dan mereka meminta untuk ditukarkan dengan kerusi lain (yang diperuntukkan kepada parti itu.

"Isu ini akan diselesaikan di peringkat jawatankuasa rundingan dan jika cadangan pertukaran kerusi itu dipersetujui, kita akan dapat kerusi lain sebagai ganti," katanya.

Sebelum ini memang sudah ada spekulasi PKR berminat untuk bertanding di sana. Ia semakin diperkatakan selepas penyandang DUN itu, Mohd Khairuddin Othman keluar PAS untuk menyertai PKR 9 April lalu.

Beliau memaklumkan, HARAPAN terpaksa mengadakan perbincangan tentang perubahan kerusi selepas persempadanan semula diluluskan untuk PRU ke-14.

"Dengan sempadan baru ini, kita kena lihat semula sama ada untuk kekalkan calon sedia ada atau tukar kerusi.

"Kita kena buat sedikit perubahan dan ini dibincangkan untuk mencari penyelesaian terbaik," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS