Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Untuk kekal objektif , mari saya angkat berita yang dipetik daripada akhbar Sinar Harian bertarikh 10 Mac 2018:

“KOTA BHARU - Setelah tiga tahun pemergian murabbi ummah, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Medan Ilmu yang sinonim dengan Kuliah Tok Guru pada setiap Jumaat kini boleh katakan semakin hilang seri dan auranya.

Walaupun tidak semeriah dulu, Medan Ilmu yang terletak di Jalan Dato’ Pati di tengah bandar Kota Bharu masih menjadi tempat rakyat Kelantan berkongsi ilmu agama menerusi ceramah disampaikan ustaz jemputan dan pimpinan PAS.

Menerusi pengamatan penulis juga, biarpun tidak dapat memberikan jumlah yang tepat bilangan mereka yang datang ke dataran ini, namun dalam tempoh 11 tahun ini dapat merasakan perbezaannya terutamanya semasa Allahyarham Nik Aziz masih ada.

Boleh dikatakan lautan manusia seawal pagi lagi sudah menunggu kedatangan menteri besar itu datang mencurahkan ilmu, auranya sangat berbeza dengan sekarang. Bukan mahu menolak kehebatan penceramah yang ada tetapi hakikatnya boleh dilihat apabila ruang-ruang kosong nampak begitu jelas.

Jika dibandingkan dengan dahulu, mahu berjalan mencari ruang tempat duduk untuk mendengar kuliah pun agak susah, bimbang takut tersadung orang sedang khusyuk mengikuti ceramah. Ruang kaki lima pun penuh, tapi sekarang masih lagi ramai datang cuma tidak sehebat dulu.

Namun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pengalaman sebegitu tidak lagi dirasai.

Meskipun begitu, diri masih bersyukur dan bertuah kerana diberikan peluang untuk sama-sama mengutip ilmu agama di samping menjalankan tugas sebagai wartawan.

Dulu, diibaratkan berpanas dan berhujan dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi untuk menghabiskan waktu kuliah pun tidak mengapa kerana apa yang keluar dari mulut Tok Guru itu dinanti-nantikan bahkan ia akan melekat di hati sampai bila-bila.”

Tidak semena-mena

Hari ini, anak Kelantan secara khusus dan warga Malaysia pada amnya dikejutkan dengan berita bahawa dataran itu ditukar nama kepada Dataran Tok Pa.

Nak kata macam mana apabila ia lengkap dengan plak dan bahan bukti tersergam dinaikkan di tengah kota!

Baru semalam, dalam Astro Awani memetik kenyataan Mustapa Mohamed mengenai calon BN untuk menghadapi PRU ke-14.

Tok Pa itu ditemui pada sidang media selepas merasmikan projek menaik taraf longkang dan laluan pejalan kaki di Dataran Ilmu di Kota Bharu.

Nampaknya pada berita itu nama Medan Ilmu masih dipakai. Tiba-tiba hari ini?

Kalau pun melibatkan peruntukan sejumlah RM450,000, dan kalau pun ia dianggap satu amaun yang cukup banyak oleh kerajaan negeri, takkanlah sanggup menukar nama sebuah dataran yang cukup sinonim dengan ilmu.

Takkan begitu mudah sekali menjadi lupa yang nama Dataran Ilmu ini dipilih dan diangkat melalui lidah arwah Tok Guru sendiri.

Citra Dataran Ilmu

Pada zaman almarhum Dataran Ilmu menjadi maruah dan mercu tanda denyut nadi kesinambungan ilmu yang mengalir antara pemimpin dan rakyat. Di sana ada kemeriahan ilmu.

Di situlah pelbagai sikap dan pendirian agama diatur, diasuh lalu ditunjuki. Ia berupa haluan dan tunjuk arah mingguan pimpinan. Ia dijadikan pentas mengasuh dan mendidik rakyat Kelantan oleh Tok Guru akan perihal kandungan adab dan pelbagai hiasan akhlak setiap warga.

Sudah berpuluh tahun - begitulah aura, sifat dan fungsinya.

Cukupkah merit hanya dengan sekadar siapnya “projek menaik taraf longkang dan laluan pejalan kaki di Dataran Ilmu” tiba-tiba kerajaan negeri boleh bersetuju untuk namanya diizinkan bertukar dengan senang-senang kepada Dataran Tok Pa?

Apa kaitan ilmu agama dengan To Pa itu? Aduh, betapa simplistiknya sebuah jalan pemikiran!

Sepanjang 10 tahun saya menjadi pembantu Tok Guru, tidak ada satu Jumaat pun yang saya mungkir untuk berada di dataran itu. Sambil menunggu arahan Tok Guru untuk menjalankan tugas-tugas spontan jika berbangkit.

Takdirnya jika tidak adalah sidang akhbar yang perlu saya atur, saya turut menjadi antara ribuan murid yang setia dan memilih pelbagai sudut dan penjuru.

Dengan satu buku nota di atas riba, saya mencatat ini dan itu – semuanya penuh tepu dengan ilmu. Ini yang menjadikan Dataran Ilmu ini dimasyhurkan dengan nama sebegitu justeru ia cukup memimpin dan membina.

Jika katakan yang nama Dataran Tok Pa ini akan terus diabadi, apa jaminan yang Tok Pa akan memimpin warga Kota Bandar Raya Islam ini dengan ilmu dan bimbingan agama?

Ringkasnya, tolonglah. Pertimbangkanlah semula keputusan pertukaran nama ini wahai kerajaan negeri yang mulia. Jangan sampai semakin ramai orang semakin curiga.

Tiada lajak yang tak dapat diundur. Elakkan diri daripada menjadi perahu yang gemar berhanyut. Masih ada masa untuk membuktikan sebuah kejujuran. Kata orang, “make the most out of your regret. To regret deeply is to live afresh."

Buktikan yang tuan masih memiliki harga diri walau pun mungkin sudah tinggal tak seberapa.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS