Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejabat MB S'gor: Bantuan diberi bukan untuk PRU14
Diterbitkan:  Apr 16, 2018 1:13 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan laporan bahawa Datuk Seri Azmin Ali mengagihkan bantuan tunai dan Ipad di kawasan DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak yang diwakilinya.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata pihaknya kecewa dengan laporan berita yang didakwa mempunyai beberapa kesalahan serius dan andaian kurang tepat.

"Pertamanya, perkataan pertama pada tajuk laporan itu tidak benar. Tiada tunai diberi dalam program itu. Hanya cek yang diserahkan dan ia sesuai untuk program rasmi yang diuruskan menerusi saluran yang betul.

"Sebutan kononnya ‘cash’ diagihkan memberi gambaran bahawa peristiwa yang berlaku itu adalah aktiviti politik semata-mata, yang mana ia sangat tidak benar.

"Selain itu, tiada iPad diberikan kepada penerima yang layak. Gajet yang diberikan adalah tablet Samsung mampu milik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua permohonan bantuan itu dibuat sebelum pembubaran Parlimen dan bukannya perbelanjaan saat akhir khusus untuk pilihan raya

"Tuduhan ‘goodies’ pada tajuk adalah mengelirukan, sekiranya ia bukan fitnah. Pengagihan untuk kawasan adalah sebahagian tanggungjawab rutin terhadap penduduk kawasan berkenaan dan Azmin melaporkan mengenainya secara terbuka menerusi media sosial.

"Aktiviti sedemikian kali terakhir dibuat adalah pada 16 Disember 2017," katanya dalam satu kenyataan.

Shao Loong berkata kebenaran dan dokumen rasmi mengenai perkara itu boleh disemak di pejabat kawasan wakil rakyat, Pejabat Daerah Gombak dan Unit Perancang Ekonomi Negeri dan semuanya tertakluk pada audit.

Sabtu lalu, Malaysiakini melaporkan Azmin menyerahkan bantuan bagi penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah dan sederhana serta bantuan tunai persekolahan bagi pelajar di Bukit Antarabangsa dan Gombak.

Malaysiakini menghadiri dua daripada empat majlis yang diadakan.

Dalam dua majlis di Ukay Perdana dan Kampung Kerdas, bantuan yang diagihkan dilapor berjumlah lebih RM2.24 juta.

Sementara itu, Shao Loong berkata angka yang dilaporkan Malaysiakini itu adalah 2.3 kali ganda daripada jumlah sebenar yang diagihkan.

"Kenyataan itu adalah tidak benar sama sekali. Faktanya, jumlah keseluruhan agihan bantuan pada empat aktiviti berkenaan hanya berjumlah RM967,150.00, iaitu daripada peruntukan kawasan dan program rasmi Kerajaan Negeri.

"Angka sebenar itu adalah termasuk beberapa ratus ribu ringgit daripada peruntukan kawasan Azmin. Sebahagian bantuan adalah untuk memenuhi permohonan menaik taraf kemudahan awam.

"Bakinya adalah bantuan untuk golongan yang memerlukan dan bantuan pendidikan," katanya.


Berikut kenyataan penuh pejabat MB Selangor:

Kami amat kecewa dengan laporan mengelirukan, terbitan portal berita Malaysiakini.com pada 14 April 2018 dalam jam 11.29 petang. Laporan itu bertajuk “Cash, laptops, iPads - Azmin doles out over RM2m worth goodies”, mempunyai beberapa kesalahan serius dan andaian kurang tepat, yang mana kami bertanggungjawab memperbetulkannya kerana ia menjejaskan nama baik Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Laporan itu adalah mengenai aktiviti Menteri Besar sementara Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengagihkan bantuan negeri di kawasan Dewan Negeri Bukit Antarabangsa dan kawasan Parlimen Gombak, di mana beliau adalah wakil rakyat kawasan itu pada Parlimen Malaysia Ke-13.

Tiada Tunai Diberi, Hanya Cek; Bukan iPad, Hanya Samsung

Pertamanya, perkataan pertama pada tajuk laporan itu tidak benar. Tiada tunai diberi dalam program itu. Hanya cek yang diserahkan dan ia sesuai untuk program rasmi yang diuruskan menerusi saluran yang betul.

Sebutan kononnya ‘cash’ diagihkan memberi gambaran bahawa peristiwa yang berlaku itu adalah aktiviti politik semata-mata, yang mana ia sangat tidak benar.

Selain itu, tiada iPad diberikan kepada penerima yang layak. Gajet yang diberikan adalah tablet Samsung mampu milik.

Kebenaran dan dokumen rasmi mengenainya boleh disemak di pejabat kawasan wakil rakyat, Pejabat Daerah Gombak dan Unit Perancang Ekonomi Negeri dan semuanya tertakluk pada audit.

Jumlah agihan

Keduanya, laporan menyatakan daripada empat aktiviti pada 14 April “jumlah bantuan yang diagihkan adalah lebih RM2.24 juta dalam dua aktiviti di Ukay Perdana dan Kampung Kerdas.”

Kenyataan itu adalah tidak benar sama sekali. Faktanya, jumlah keseluruhan agihan bantuan pada empat aktiviti berkenaan hanya berjumlah RM967,150.00, iaitu daripada peruntukan kawasan dan program rasmi Kerajaan Negeri.

Angka yang dilaporkan Malaysiakini adalah 2.3 kali ganda daripada angka sebenar.

Adalah amat dikesali tiada sebarang usaha dibuat untuk menghubungi pegawai kawasan untuk pengesahan maklumat berkenaan sebelum penerbitan.

Angka sebenar itu adalah termasuk beberapa ratus ribu ringgit daripada peruntukan kawasan Azmin. Sebahagian bantuan adalah untuk memenuhi permohonan menaik taraf kemudahan awam. Bakinya adalah bantuan untuk golongan yang memerlukan dan bantuan pendidikan.

Untuk penjelasan, persatuan penduduk di sembilan pangsapuri kos sederhana dan kos rendah kawasan terbabit sudah memohon kerja pembaikan bangunan di bawah Program SMART LIFE dan CERIA oleh Kerajaan Negeri.

Belanjawan Negeri Selangor 2018 yang diluluskan pada November 2017 menyatakan Kerajaan Negeri sebagai kerajaan prihatin akan menanggung 100 peratus kos pembaikan lif dan kerja mengecat semula pangsapuri kos sederhana dan kos rendah.

Perbelanjaan ikut saluran, telus

Ketiga, semua permohonan bantuan itu dibuat sebelum pembubaran Parlimen dan bukannya perbelanjaan saat akhir khusus untuk pilihan raya. Tuduhan ‘goodies’ pada tajuk adalah mengelirukan, sekiranya ia bukan fitnah. Pengagihan untuk kawasan adalah sebahagian tanggungjawab rutin terhadap penduduk kawasan berkenaan dan Azmin melaporkan mengenainya secara terbuka menerusi media sosial. Aktiviti sedemikian kali terakhir dibuat adalah pada 16 Disember 2017.

Kami amat menghormati peranan media bebas sebagai Kuasa Keempat (‘Fourth Estate’) untuk semak dan imbang dalam amalan demokrasi moden. Bagaimanapun, peranan itu mesti dilunaskan dengan etika berpiawaian tinggi. Fakta perlu disahkan dan harus ada komunikasi dengan sumber supaya orang awam mendapat maklumat benar.

Atas sebab yang dinyatakan, kami meminta pembetulan pada artikel berkenaan dan turut mengakui wujudnya kesilapan pada laporan itu yang menjejaskan nama baik Azmin.

Reputasi baik adalah lebih penting berbanding kekayaan; yang mana ia lebih bernilai daripada perak dan emas.

YIN SHAO LOONG
Pengarah Komunikasi Strategik
Pejabat Menteri Besar Selangor

 

 

 

Lihat Komen
ADS