Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

BELASUNGKAWA |  Rakyat Malaysia, khususnya anggota Umno hari ini kehilangan seorang lagi serikandi yang hampir sepanjang hidupnya berjuang demi memartabatkan masyarakat Melayu supaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama kaum-kaum lain di negara ini.

Penerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang Umno 2017, Tan Sri Napsiah Omar yang menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira pukul 5.45 petang tadi di rumah anaknya di Ampang Jaya mempunyai banyak lipatan sejarahnya yang tersendiri dalam politik dan kerajaan.

Malah beliau dianggap sebagai 'íbu' kepada hampir 1.4 juta anggota Wanita Umno hari ini, selepas masih bersama parti itu sebagai Pengerusi Tetap Wanita Umno Malaysia.

Lahir pada 21 April 1943, beliau mula agresif di dalam politik apabila bertanding merebut kerusi Parlimen Kuala Pilah pada tahun 1982, kerusi yang dipegangnya selama lima penggal sehingga 2004, dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada tahun 1987 bekas Naib dan Timbalan Ketua Wanita Umno itu dilantik pula sebagai Menteri Perusahaan Awam dan tiga tahun kemudian Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial.

Pada 1995, beliau bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pilah dan dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri sehingga Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.

Anak jati Kuala Pilah itu mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kuala Pilah sebelum meneruskan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Tunku Kurshiah, Sekolah Tunku Mohammad dan Telopean Park School, Canberra, Australia.

Beliau yang turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Institut Pengurusan Wanita (WIM) kemudiannya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Zoologi dan Botani di Australian National University, Canberra Australia, sebelum meneruskan pelajarannya di peringkat Ijazah dalam Nutrisi dan Pendidikan di Cornell University, New York, Amerika Syarikat.

Napsiah meninggalkan empat orang anak iaitu Shahira, Mohamad Rizal, Shahrina dan Norfizah.

Jenazahnya dijangka dibawa balik ke Kuala Pilah malam ini dan akan dikebumikan esok sebelum solat Zohor.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS