Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hospital terapung tentera AS berlabuh di Malaysia

USNS Mercy, kapal hospital Amerika Syarikat yang berpangkalan di San Diego berlabuh untuk kali kedua di sini sebagai sebahagian daripada misi Perkongsian Pasifik 2018 (PP18)

Sepanjang lima hari berada di sini sehingga Jumaat, krew kapal akan terlibat dalam projek kejuruteraan awam, bantuan kemanusiaan dan seminar kesediaan menghadapi bencana dan penglibatan dalam program jangkauan masyarakat di Kuala Lumpur.

Kapal itu pertama kali berlabuh di Pelabuhan Kuantan pada Ogos 2016 sebagai sebahagian daripada PP.

Komandan Misi PP18 Kapten David Bretz berkata PP18 merupakan latihan siap siaga bencana pelbagai hala yang terbesar di rantau Indo Pasifik yang direka bagi membantu negara rakan kongsi serta negara tuan rumah terhadap kesediaan menghadapi bencana alam dalam Lingkaran Api Pasifik.

“Malaysia sebagai rakan kongsi menawarkan pelbagai peluang untuk kami mengembangkan keupayaan kami dalam perubatan, kejuruteraan awam dan kesediaan bantuan bencana ,” katanya kepada pemberita sejurus kapal itu berlabuh di Pusat Terminal Pelayaran Boustead di Pelabuhan Klang, awal hari ini.

Tangani soal kemanusiaan dan bencana

Turut hadir Penolong Ketua Staf J7 Laksamana Pertama Chan Peng Cheong, dari Markas Angkatan Bersama.

Pasukan PP18 termasuk anggota tentera serta orang awam dari Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Australia, Perancis, Peru dan Jepun.

Misi itu mengandungi lebih 800 personel dari Amerika Syarikat serta negara rakan kongsi di mana tentera dan orang awam berganding bahu dengan rakan sejawat dari negara tuan rumah agar lebih bersedia terhadap keperluan menangani soal kemanusiaan dan bencana.

Sementara itu, Bretz berkata sebuah lagi kapal, USNS Brunswick yang merupakan kapal pengangkut ekspedisi cepat akan tiba di Tawau Sabah pada 21 April 2018 bagi tugasan kejuruteraan sivil, perubatan dan khidmat jangkauan dengan masyarakat setempat bersama Angkatan Tentera Malaysia.

Kapal USNS Mercy seberat 70,000 ton pertama kali tiba di rantau ini bagi menyalurkan bantuan apabila Tsunami melanda Asia Selatan dan Asia Tenggara pada Disember 2004.


-Bernama

Lihat Komen
ADS